Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
23.01.08

Thaipusam cetus semangat Gunalan

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

“JURULATIH (Dollah Salleh) dah beri cuti sehari untuk sambut Thaipusam, jadi saya akan balas dengan menghadiahkan tiga mata penuh Sabtu ini.”

Demikian janji pemain pertahanan Selangor, P. Gunalan (gambar) menjelang pertemuan menentang Brunei DPMM di Stadium Shah Alam Sabtu itu.

Gunalan, 27, berkata dia dan tiga lagi rakan sepasukan yang berbangsa India iaitu D. Surendran, R. Surendran dan S. Sritharan telah diberikan pelepasan hari ini untuk menyambut Hari Thaipusam.

“Tentang sambutan Thaipusam, biasanya pada malam ini (malam tadi) kami akan mula ke Batu Caves dan terus berada di sana sehingga tengah hari esok (hari ini).

“Selepas itu, pulang ke rumah masing-masing. Jadi tiada masalah walau cuti hanya sehari. Khamis (esok) kami akan kembali berlatih,” katanya semalam.

Pemain yang berasal dari Petaling Jaya itu diturunkan dalam kesemua perlawanan musim ini kecuali ketika Selangor seri 1-1 dengan Terengganu 15 Januari lalu kerana menjalani penggantungan satu perlawanan selepas mengumpul tiga kad kuning.

“Memang semangat berkobar-kobar untuk kembali beraksi Sabtu ini. Beraksi di tempat sendiri, tiga mata penuh wajib dikutip supaya Selangor terus tampil memberi saingan,” tegasnya.