31.01.08
Yang dinanti sudah tiba
Oleh: Amir (SELANGORFC.COM)

Penantian peminat Selangor untuk melihat kelibat bintang Indonesia Elie Aiboy beraksi sekali lagi menyarung jersi Merah Kuning berakhir apabila pemain itu tiba di Terminal Penerbangan Kos Rendah (LCCT) Sepang pagi tadi. Pihak pengurusan Selangor telah berjaya memikat kembali pemain lincah yang membantu skuad Gergasi Merah menjulang kejuaraan treble 2005 itu untuk menghadapi saingan musim 2007/2008, namun terpaksa menunggu Elie membantu bekas majikannyanya Arema Malang menamatkan aksi Liga Indonesia.
Pihak Persatuan Bola Sepak Selangor telah mengadakan satu sidang akhbar di LCCT sebaik sahaja ketibaan Elie di sebelah pagi. Kesungguhan Elie untuk membuktikan keupayaannya yang sedikit diragui berikutan kecederaan berpanjangan di musim keduanya bersama Selangor pada 2006 tampak jelas apabila hadir menjalani latihan bersama rakan-rakan sepasukan barunya petang tadi. Yang pasti kehadiran Elie Aiboy pasti memperkuatkan lagi saingan Selangor yang menduduki tangga kedua Liga Super, 5 mata di belakang pendahulu, Kedah.