28.01.08
Yang penting tiga mata - Dollah
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
“SECARA keseluruhan, Selangor bermain dengan begitu lembap sekali, tetapi yang penting tiga mata berjaya diperoleh.”
Demikian komen ketua jurulatih Selangor, Dollah Salleh terhadap persembahan anak buahnya yang mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Brunei DPMM dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam kelmarin.
Menurut Dollah, aksi kelmarin dianggap malam serba tidak menjadi buat Selangor dan dia turut mengakui, corak permainan pasukan bimbingannya itu tidak menonjol.
“Saya rasa Brunei DPMM beraksi begitu baik dalam perlawanan ini, cuma beberapa peluang yang mereka ada tidak dapat diterjemahkan dengan baik.
“Pada separuh masa kedua kita berjaya bangkit. Selepas jaringan kedua menerusi sepakan penalti itu barulah corak permainan kita berubah jadi lebih baik,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.
Dalam perlawanan itu, Mohd. Safee Sali menjaringkan gol pertama Selangor pada minit ke-22 sebelum disamakan penyerang import Brunei DPMM, Tiago Dos Santos sepuluh minit kemudian.
Namun, Frank Seator berjaya menjaringkan gol kemenangan Selangor menerusi sepakan penalti pada minit ke-73 selepas P. Gunalan dijatuhkan dalam kotak penalti.
Dollah turut mengakui, dia berasa begitu lega selepas Dos Santos menerima kad merah pada minit ke-77 kerana menganggap pemain berkenaan berjaya menghuru-harakan barisan pertahanan Selangor.
“Memang saya rasa lega selepas pemain dia dikeluarkan. Kemenangan malam ini (kelmarin) amat penting dan kita akan bangkit semula apabila menentang UPB-MyTeam Selasa ini (malam esok),” jelasnya.
Tambah Dollah, pemain pertahanannya, Evans Chisulo tidak dapat diturunkan kelmarin kerana digantung satu perlawanan selepas mengumpul tiga kad kuning, namun pemain import dari Zambia itu boleh diturunkan semula pada perlawanan malam esok.