23.02.08
Brunei DPMM 1-2 Selangor
Oleh: misai11 (selangorfc.com)
SELANGOR sekadar mencatat kemenangan tipis 2-1 menewaskan DPMM Brunei dalam perlawanan ke-15 Liga Super di Stadium Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan sebentar tadi.
Namun, ia begitu berharga kerana dengan kemenangan itu, Selangor berjaya untuk terus mengekori rapat pendahulu liga, Kedah yang turut mencatat kemenangan menewaskan Sarawak 2-1 di Kuching sebentar tadi.
Kemenangan itu juga merupakan hadiah sempena ulangtahun ke-72 Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang jatuh pada hari semalam (Jumaat - 22 Februari) dan juga hadiah hari jadi penjaga gol Selangor, Mohd. Suffian Abdul Rahman yang genap berusia 30 tahun pada hari ini (Sabtu - 23 Februari).
Selangor berjaya membuka tirai jaringan seawal minit kedua permainan setelah sepakan percuma Indra Putra Mahayuddin gagal diselamatkan penjaga gol Brunei DPMM.
Pasukan tuan rumah bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-15 menerusi jaringan Muhd Subhi Abdillah.
Namun, kebangkitan Brunei DPMM tersentak seketika setelah seorang pemain mereka dilayangkan kad merah tiga minit selepas jaringan penyamaan itu.
Selepas usaha mencari gol pendahuluan menemui jalan buntu biarpun berdepan lawan yang beraksi 10 pemain, ketua jurulatih Selangor, Dollah Salleh membuat pertukaran pada minit ke-65 dengan memasukkan Razman Roslan menggantikan Safiq Rahim.
Percaturan itu tampak berhasil apabila Razman berjaya menjaringkan gol kedua Selangor pada minit ke-70 setelah dia menolak masuk bola muntah hasil sepakan percuma Indra Putra sebelum itu.
Kedudukan 2-1 itu kekal hingga wisel penamat ditiup oleh pengadil perlawanan.
Selangor tidak akan beraksi pada perlawanan Liga Super pada Selasa ini kerana mengambil giliran sebagai pasukan yang berehat dan hanya akan kembali beraksi pada Sabtu (1 Mac) untuk bertemu Terengganu di Stadium Shah Alam.
SELANGOR:
21-MOHD. SUFFIAN ABDUL RAHMAN, 17-AMRI YAHYAH, 4-EVANS CHISULO, 26-NASRIQ BAHAROM, 15-P.GUNALAN, 8-ELIE AIBOY (24-AMIRUL HADI ZAINAL), 28-SAFIQ RAHIM (3-RAZMAN ROSLAN), 23-INDRA PUTRA MAHAYUDDIN, 11-R.SURENDRAN, 9-FRANK SEATOR, 10-SAFEE SALI (14-AKMAL RIZAL RAKHLI)