Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
04.02.08

Dollah beri masa Elie bangkit

Oleh: Ferzalfie Fauzi (UTUSAN MALAYSIA)

SHAH ALAM – Jurulatih Selangor, Dollah Salleh memberi tempoh kepada Elie Aiboy untuk kembali ‘menyengat’ selepas menyaksikan anak-anak buahnya kecundang di tangan Perak dengan kekalahan 2-4.

Menurut Dollah, Elie harus diberi peluang untuk mempamerkan aksi sebenarnya.

‘‘Elie bermain untuk perlawanan pertamanya pada malam ini dan dia mungkin agak kepenatan selepas selama dua atau tiga hari tidak turun beraksi di atas padang.

‘‘Permainan pada malam ini memang menarik dan saya tidak melihat sebarang kelemahan pada pasukan Selangor cuma pemain agak terleka sedikit yang menyebabkan Perak berjaya menjaringkan empat gol,’’ katanya.

Sementara itu, jurulatih Perak, Steve Derby berkata, permainan kedua-dua pasukan menakjubkan dengan aksi serangan pantas dan gerakan tersusun menghiburkan.

‘‘Ia adalah perlawanan yang paling menarik pada minggu ini dengan menemukan dua pasukan yang boleh dianggap sebagai seteru utama tetapi perkara yang paling penting ialah permukaan padang yang begitu cantik,’’ katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, kelmarin.

Darby berkata, permukaan padang yang menarik mencetuskan permainan pantas antara kedua-dua pasukan dan membuktikan bahawa liga di Malaysia juga mempunyai kualitinya yang tersendiri.

‘‘Siapa kata negara anda (Malaysia) tidak hebat di dalam sukan bola sepak? Anda sudah menyaksikan sendiri bagaimana permainan menarik pada malam ini membuktikan negara anda masih lagi memiliki pemain yang hebat.

‘‘Lupakan sejenak kejohanan besar seperti Liga Perdana England, anda masih mempunyai liga yang hebat dengan kekuatan kedua-dua pasukan yang beraksi pada malam ini menunjukkan permainan yang mengujakan,’’ katanya.

Jelasnya, pemain Perak bermain bersungguh-sungguh pada perlawanan tersebut dan setiap peluang yang dicipta disempurnakan dengan sebaik mungkin.