Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
05.02.08

Dollah congak strategi baru

Oleh: Alias Abd Rani (HARIAN METRO)

MENYEDARI peluang merampas kedudukan dalam Liga Super semakin jauh, Selangor akan memanfaatkan tempoh rehat hampir dua minggu untuk merangka strategi baru memandangkan perlawanan pertama pusingan kedua skuad bimbingan Dollah Salleh itu bakal bertemu Perak sekali lagi di Ipoh, Sabtu depan.

Selepas tewas 2-4 dalam perlawanan terakhir pusingan pertama, Sabtu lalu, Dollah mula memikirkan langkah terbaik dari segi aspek pertahanan, tengah mahupun serangan ditambah pula dengan kehadiran pemain import dari Indonesia, Elie Aiboy.

Penyakit tidak konsisten dalam tempoh 90 minit semakin menjadi-jadi sejak menamatkan 12 perlawanan lalu dan atas sebab itulah Selangor perlu mengemaskini segala kelemahan yang ada.

"Saya akan memastikan tempoh 10 hari itu untuk memperbaiki kelemahan pasukan. Kalau melihat corak permainan, pemain saya beraksi baik. Pemain saya bukanlah beraksi begitu teruk sangat, cuma mereka gagal memanfaatkan peluang yang ada.

"Mungkin pemain saya kepenatan dan sebab itulah mereka tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya. Separuh masa pertama semua OK. Tapi, separuh masa kedua, keadaan berubah," katanya.

Selangor gagal mengekalkan kedudukan selaku pencabar terdekat kepada juara bertahan, Kedah selepas tunduk kepada Perak dalam perlawanan terakhir sekali gus turun daripada tangga kedua kepada tangga keempat - berkongsi mata dengan Negeri Sembilan Naza yang menghuni tangga ketiga - cuma dipisahkan dengan kelebihan jaringan.

Anak buah Dollah mencatat tujuh kemenangan, dua seri dan tiga kalah untuk mengumpul 23 mata sambil diekori rapat dua lagi pasukan di tangga kelima dan keenam iaitu Terengganu dan Perlis - masing-masing mengumpul 21 dan 20 mata.

Kehadiran Elie Aiboy menghidupkan suasana di Stadium Shah Alam meskipun bekas sayap Indonesia itu belum nampak menemui rentak sebenar dalam perlawanan pertamanya.

"Elie mungkin akan biasakan diri dalam perlawanan berikutnya. Perlawanan (pertama menentang Perak), dia sudah membuktikan kepada saya cuma tidak berpeluang menjaringkan gol," katanya.