14.02.08
Dollah tak sangka menang besar
Oleh: KUMARA SABAPATTY (KOSMO!)
"SAYA tidak sangka boleh menang besar."
Itu reaksi spontan jurulatih Selangor, Dollah Salleh ketika mengulas kejayaan pasukannya menewaskan Perak 4-1 pada saingan bola sepak Liga Super di Stadium Ipoh kelmarin.
Menurutnya, dia tidak sanga mereka boleh mencapai kemenangan yang agak cemerlang kerana pada awal perlawanan gaya persembahan kedua-dua pasukan adalah seimbang.
"Pada mulanya saya fikir kami akan menang dengan jaringan dua gol sahaja tetapi pemain saya bangkit dengan persembahan yang lebih agresif dan mantap. Inilah persembahan terbaik pernah dipamerkan oleh mereka.
"Lebih menggembirakan, kami juga menamatkan badi kekalahan 10 tahun di Ipoh," katanya kepada KOSMO!.
Menurut Dollah, sepanjang pertemuan mereka dengan Perak sebelum ini, pasukan kendaliannya hanya mampu seri tanpa jaringan ataupun tewas.
Katanya, kemenangan itu perlu dipuji terutama aksi bertenaga yang dipamerkan oleh Frank Seator yang menghasilkan dua gol.
Menurut Dollah, dia akan pastikan skuad kendaliannya itu akan terus mengekalkan rentak cemerlang malah akan mengekalkan kesebelasan utama pada aksi menentang UPB-MyTeam selepas ini.
Sementara itu, pengurus Perak, Steve Darby jelas tidak berpuas hati dengan corak permainan yang dipersembahkan oleh anak-anak buahnya yang terlalu mudah hilang konsentrasi.
"Banyak peluang terbuka diperoleh namun mereka gagal menyudahkannya," katanya.
Steve juga mengaku bahagian pertahanan pasukannya longgar dan begitu mudah dibolosi.