Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
14.02.08

Dollah tidak terkejut Selangor bangkit di Ipoh

Oleh: BERITA HARIAN

KEJAYAAN menebus kekalahan 2-4 kepada Perak pada 2 Februari lalu dengan menjinakkan tuan rumah 4-1 di Ipoh kelmarin, langsung tidak mengejutkan jurulatih Selangor, Dollah Salleh.

Bagi Dollah, petanda kebangkitan pemainnya ditunjukkan sejak tiga sesi latihan sebelum perlawanan kelmarin, selepas anak buahnya jelas murung dikecewakan Perak di Shah Alam sebelum itu.

"Kekalahan kepada Perak sebelum ini melenturkan semangat pasukan kami tetapi saya bangga dengan setiap pemain saya yang mula menguatkan kembali semangat mereka menjelang perlawanan di Ipoh.

"Saya berpuas hati dengan aksi setiap pemain kami, Shukor (Adan) mempamerkan aksi terbaiknya menjana barisan tengah manakala Evans (Chisulo) mengemudi benteng pertahanan dengan baik malam tadi (kelmarin).

"Kini harapan saya ialah untuk melihat setiap pemain mengekalkan aksi permainan konsisten apabila berdepan UPB-MyTeam Sabtu ini. Mungkin lawan itu berada di tangga bawahan tetapi saya akan tetap mengingatkan pemain untuk tidak memandang rendah keupayaan mereka," kata Dollah.

Dollah juga berharap pasukannya tidak lagi keciciran mata, memandangkan mereka kini sudah memungut 26 mata dan hanya dua mata memisahkan mereka dengan pendahulu liga, Kedah.

 

Sementara itu, jurulatih Perak Steve Darby pula menyifatkan kesilapan individu menyebabkan mereka gagal mengutip sebarang mata.

Darby enggan menamakan pemain yang melakukan kesilapan ketika berdepan Selangor, tetapi berharap setiap pemainnya akan segera meningkatkan semula permainan mereka untuk pertemuan dengan Terengganu, Sabtu ini.

"Kami tewas kerana kesilapan individu beberapa pemain, tetapi memang bukan budaya saya untuk menyalahkan mana-mana pemain selepas tewas. Selangor juga bermain dengan baik semalam (kelmarin), mereka bijak mengambil kesempatan daripada kesilapan pemain kami dan mereka berhak untuk menang.

"Kami berdepan tugas sukar berdepan Terengganu di Kuala Terengganu Sabtu ini, dan kami harus bersedia berdepan mereka. Bukan mudah berdepan pasukan itu di tempat mereka tetapi kami harus melipatgandakan usaha bagi memastikan tidak lagi berputih mata," kata Darby.

Walaupun tewas kepada Selangor kelmarin, Perak masih berada di kelompok tiga pasukan teratas Liga Super setakat ini dengan 24 mata selepas 13 perlawanan, namun hanya dipisahkan menerusi perbezaan jaringan dengan pasukan tangga keempat, Negeri Sembilan yang seri 1-1 dengan Terengganu kelmarin.