01.02.08
Elie kembali
Oleh: Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR - Gergasi Merah Kuning mendapat suntikan semangat dengan kehadiran pemain sayap lincah, Elie Aiboy yang akan diturunkan buat pertama kali menentang Perak di Stadium Shah Alam, esok.
Elie, 28, yang tiba di Terminal Kos Tambang Murah (LCCT) di Sepang, semalam dijangka mampu melenyapkan kerisauan Selangor untuk terus memperkukuhkan kedudukan pasukan itu dalam kancah Liga Super musim ini.
Kelibat Elie yang pernah membantu Selangor menjuarai tiga piala pada 2005 itu pastinya menambah sengat dan ketajaman di bahagian serangan skuad bimbingan Dollah Salleh itu.
Pengurus pasukan, Hamidin Mohd. Amin berkata, Selangor akan menurunkan terus Elie menentang Perak kerana pihaknya sudah pun mendapat sijil perpindahan pemain yang diperlukan.
"Elie tidak perlu tempoh menyesuaikan diri lebih dulu kerana dia sudah mengetahui corak permainan Selangor.
"Kami memang memerlukan khidmatnya ketika ini untuk memberikan saingan lebih bermakna kepada pencabar utama Liga Super yang lain," katanya, semalam.
Selangor kini menduduki tangga kedua di belakang Kedah. Namun kehadiran Elie di bahagian sayap kanan bakal mengubah kedudukan itu tidak lama lagi.
Sementara itu, ketibaan Elie di Malaysia di sambut bendahari Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), S. Sivasundaram dan penolong jurulatih, Mohd. Rosdy Nazir.
Dengan mempamerkan semangat yang cukup tinggi, Elie berazam untuk membantu Merah Kuning merangkul sekurang-kurangnya dua piala musim ini.
"Sebagai pemain profesional, saya sentiasa bersedia membantu Selangor mencapai cita-cita mereka walaupun harapan yang diletakkan kepada saya begitu tinggi," katanya.
Sebelum datang ke Malaysia, Elie bermain untuk Arima Malang di Surabaya dan berjaya membantu pasukannya itu menduduki tempat keempat Divisyen Satu Liga Indonesia.