08.02.08
Elie lebih bersedia
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
SEMALAM, genap seminggu pemain kebangsaan Indonesia, Elie Aiboy menyertai kem latihan skuad Selangor.
Pemain sayap berusia 29 tahun itu mengakui yang dia kini lebih bersedia untuk beraksi pada perlawanan akan datang berbanding aksi sulungnya ketika Selangor tewas 2-4 kepada Perak Sabtu lalu.
"Memang saya kini rasa lebih bersedia. Selepas seminggu bersama Selangor, tiada masalah sangat untuk sesuaikan diri dengan latihan, biasa saja bagi saya.
"Lagipun saya selesa menjalani latihan bersama rakan-rakan sepasukan di sini," katanya ketika ditemui KOSMO! selepas perlawanan persahabatan menentang Proton FC di Stadium Shah Alam kelmarin.
Pada perlawanan yang berkesudahan Selangor menang 3-1 itu, Elie hanya beraksi pada separuh masa pertama sahaja tetapi dia tetap menyumbang kepada kemenangan itu apabila hantaran lintangnya disudahkan oleh R. Surendran pada minit ke-30 untuk menghasilkan gol pertama Selangor.
Ditanya tentang ancaman pemain lawan pada perlawanan yang bakal dilaluinya selepas ini dalam saingan Liga Super, Elie berkata, dia sudah bersedia menghadapinya berdasarkan pengalaman ketika membantu Selangor menjulang tiga piala pada musim 2005.
"Mereka (pemain lawan) tahu bagaimana aksi saya ketika musim 2005 dan 2006 dahulu. Jadi, saya perlu bertindak lebih pantas.
"Memang ada risiko untuk saya dicederakan melalui terjahan keras lawan. Tapi saya yakin, pasti ada cara untuk mengelaknya," jelas Elie.
Selangor sekali lagi menghadapi ujian getir apabila bakal memulakan kempen pusingan kedua Liga Super menentang Perak di Ipoh, Selasa ini.