01.02.08
Elie sudah sedia beraksi
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!) Gambar: Osman Adnan (selangorfc.com)
PEMAIN import Selangor, Elie Aiboy menyatakan kesediaan untuk diturunkan pada perlawanan Liga Super menentang Perak di Stadium Shah Alam malam esok.
Meskipun baru tiba pagi semalam, pemain kelahiran Indonesia itu dilihat begitu bersemangat apabila terus menyertai sesi latihan Selangor di Shah Alam pada sebelah petangnya.
Elie, 29, berkata, dia tiada sebarang masalah untuk membentuk keserasian dan persefahaman dengan barisan Selangor musim ini.
"Saya rasa, tiada masalah sangat. Ini kerana, saya dah kenal hampir kebanyakan pemain-pemain seperti Shukor Adan, Amri Yahyah, Razman Roslan dan lain-lain pemain dari skuad 2005 dan 2006," jelasnya ketika ditemui KOSMO! semalam.
Ditanya adakah dia sudah bersedia diturunkan malam esok, Elie memberitahu, tiada yang menghalangnya untuk beraksi menentang Perak kecuali jika ditimpa kecederaan pada saat-saat akhir.
"Sebagai pemain profesional, saya sentiasa bersedia untuk diturunkan. Cuma takut-takut kalau tercedera saja," katanya.
Kehadiran Elie pasti menyaksikan Stadium Shah Alah malam esok bakal kembali dipenuhi peminat Indonesia yang semenangnya menantikan pemain kesayangan mereka itu beraksi.
"Kehadiran mereka (penonton) ke stadium bukan hak saya. Terpulang kepada masing-masing punya pilihan.
"Yang pasti, sebagai pemain, saya hanya boleh menggalakkan kehadiran mereka dengan berusaha mempamerkan aksi persembahan yang baik," kata Elie.
Sementara itu, ketua jurulatih Selangor, Dollah Salleh seakan-akan masih mahu berteka-teki tentang kemungkinan Elie diturunkan malam esok.
"Buat masa sekarang, saya lihat pemain sayap kanan sedia ada, Amirul Hadi Zainal sedikit merosot persembahannya.
"Jadi, mungkin Elie akan diserapkan mengisi posisi Amirul itu. Tentang ITC (Sijil Perpindahan Antarabangsa) Elie, saya tak tahu," ujarnya.