18.02.08
Gergasi Merah keletihan
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
DI sebalik kejayaan Selangor mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas UPB-MyTeam pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam kelmarin, persembahan skuad Gergasi Merah itu dilihat agak kurang bertenaga.
Perkara tersebut turut diakui sendiri ketua jurulatih Selangor, Dollah Salleh yang menyifatkan anak buahnya agak keletihan setelah memerah sepenuh keringat ketika menewaskan Perak 4-1 di Ipoh Selasa lalu.
"Saya akui memang pemain Selangor nampak sedikit kelam kabut di semua bahagian tetapi keputusan meraih tiga mata penuh adalah lebih penting.
"Mungkin pemain-pemain masih keletihan selepas memberi 150 peratus persembahan ketika lawan Perak tempoh hari," katanya kepada pemberita selepas perlawanan malam kelmarin.
Pada aksi kelmarin, gol Selangor dijaringkan Frank Seator pada minit ke-37 dan Safee Sali (gambar) pada minit ke-82 bagi memadam gol pendahuluan UPB-MyTeam menerusi lambungan cantik ketua pasukan, Khaironisam Sahabuddin.
"Memang jaringan pertama lawan itu kesilapan penjaga gol kita (Mohd. Suffian Abdul Rahman) yang agak terkeluar daripada posisinya.
"Tapi saya tetap bangga dengan Suffian kerana dia tidak mudah panik dengan kesilapan itu. Alhamdulillah, selepas itu dia dapat beraksi baik semula," ujar Dollah.
Tentang tindakannya meletakkan pemain sayap, Amri Yahyah beraksi di posisi pertahanan kanan setelah Abdul Ghani Abdul Rahman digantikan Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-63, Dollah memberitahu ia memang sudah dalam perancangannya.
"Sebelum perlawanan saya dah beritahu Amri, kalau apa-apa terjadi pada Ghani sama ada dia cedera atau gagal menyerlah, Amri kena ganti tempat Ghani.
"Saya bangga dengan prestasi Amri. Letaklah di mana sekalipun, dia dapat beraksi dengan baik," jelasnya.
Dollah bagaimanapun tetap yakin pemainnya akan kembali berada pada tahap terbaik menjelang perlawanan pertama pusingan pertama Piala FA menentang Brunei DPMM FC di Stadium Shah Alam malam esok.