Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
11.02.08

Indra Putra kempunan

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

DUA tonggak Selangor, Indra Putra Mahayuddin dan Mohd. Razman Roslan bakal kempunan untuk turun beraksi menentang Perak di Stadium Perak, Ipoh malam esok.

Ini kerana kedua-dua pemain itu telah menerima kad kuning ketiga sewaktu aksi terakhir pusingan pertama Liga Super di Stadium Shah Alam pada 2 Februari lalu.

Pada perlawanan tersebut, Selangor tewas 2-4 kepada Perak tetapi Indra telah menjaringkan salah satu daripada dua gol skuad Merah Kuning itu menerusi satu sepakan percuma yang menarik.

Bagi Indra, 27, perasaan terkilan tetap menebal dalam dirinya kerana tidak dapat beraksi pada perlawanan kedua ini.

"Memang terkilan sangat tidak dapat bermain Selasa ini (esok), lebih-lebih lagi selepas saya berjaya membolosi gawang Perak buat kali pertama sejak meninggalkan Perak pada 2004.

"Satu saja harapan saya, semoga rakan-rakan sepasukan yang beraksi nanti dapat bermain dengan baik dan membawa pulang tiga mata dari Ipoh," kata Indra ketika dihubungi KOSMO! semalam.

Ketiadaan Indra menyaksikan posisi sayap kiri bakal diisi sama ada oleh seorang lagi bekas pemain Perak, R. Surendran atau Mohd. Amri Yahyah.

Sementara itu, Razman, 24, yang merupakan tonggak di bahagian pertahanan tengah pula berharap ketiadaannya tidak akan menjejaskan benteng Selangor.

"Walaupun ada rasa sedikit kecewa dan terkilan, saya mendoakan rakan-rakan yang lain dapat melaksanakan apa yang direncanakan oleh jurulatih. Insya-Allah Selangor mampu mencuri mata," katanya.