Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
02.02.08

Indra tekad benam Perak di Shah Alam

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

INDRA PUTRA MAHAYUDDIN bertekad membantu Selangor membenam pasukan negeri kelahirannya, Perak pada perlawanan terakhir pusingan pertama Liga Super malam ini.

Indra, 27, turut berazam mahu mengecewakan ribuan penyokong setia skuad Kejor Yob Kejor itu yang dijangka turun membanjiri Stadium Shah Alam malam ini.

"Untuk perlawanan bertemu Perak ini, saya akan lupakan seketika yang Perak adalah negeri kelahiran memandangkan saya kini berkhidmat dengan Selangor.

"Sebagai pemain profesional, saya akan memberikan sepenuh tumpuan membantu Selangor meraih tiga mata penting esok (malam ini)," katanya kepada KOSMO! semalam.

Pemain kelahiran Ipoh itu pernah beraksi bersama Perak dari 1999 hingga 2003 sebelum berhijrah ke Pahang selama empat musim dan menyertai Selangor awal musim ini.

"Musim lalu, saya hanya sekali beraksi menentang Perak di Ipoh di mana Pahang tewas 1-3. Tiga lagi aksi Pahang bertemu Perak musim lalu saya tak main kerana cedera.

"Jadi, untuk musim ini, saya harap ada sedikit tuah dalam usaha mengecewakan Perak. Insya-Allah dengan semangat berpasukan, Selangor dapat menewaskan Perak," jelasnya.

Indra turut memberitahu, dia tidak risau sekiranya menerima kutukan dan provokasi daripada penyokong-penyokong Perak yang hadir ke stadium malam ini.

"Biarkan saja mereka (penyokong Perak). Saya dah biasa kena provokasi. Cuma saya harap penyokong Selangor terus membakar semangat kami sepanjang perlawanan itu nanti," ujar Indra.

Lebih menarik, aksi malam ini turut menyaksikan seorang lagi bekas pemain Perak, R. Surendran turun menyarung jersi Selangor dan pastinya dia juga ingin 'membalas dendam' terhadap bekas pasukannya itu.

Namun, seorang lagi bekas pemain Perak, Frank Seator tidak dapat diturunkan malam ini kerana digantung satu perlawanan akibat tiga kad kuning.