Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
18.02.08

Jaringan cantik Safee kembalikan nostalgia penyudah Mokhtar

Oleh: Mohd Fadzrie Hazis (BERITA HARIAN)

JARINGAN cantik yang dilakukan penyerang Selangor, Safee Sali ketika pertemuan dengan UPB MyTeam dalam saingan Liga Super kelmarin pasti mengingatkan kembali ingatan peminat kepada kelibat penyerang legenda negara, Mokhtar Dahari.

Safee yang berjaya meloloskan diri daripada kawalan pertahanan UPB MyTeam, melakukan rembatan kencang daripada sudut sukar pada minit ke-82 untuk gol kesembilannya yang juga mengesahkan tiga mata berharga buat Selangor dan juga kekal di tangga kedua dengan 29 mata.

Namun, bekas penyerang Kuala Lumpur dan Sarawak itu lebih menyifatkan kemenangan kelmarin adalah hasil kerjasama sepasukan selain daripada perubahan taktikal yang dilakukan jurulatih, Dollah Salleh pada babak kedua.

"Saya gembira dapat menjaringkan gol kemenangan malam ini (kelmarin), saya memang sudah lihat sudut yang ingin saya tujukan sebelum melepaskan rembatan kencang dan saya bersyukur percubaan itu menepati sasaran.

"Tetapi ini adalah kejayaan sepasukan, dan bukan saya seorang saja. Dollah juga melakukan beberapa pertukaran taktikal pada babak kedua yang membolehkan kami memburu gol kemenangan.

"Saya tidak nafikan kemasukan Indra (Putra Mahayuddin) juga memberi lebih banyak ruang kepada saya dan Frank (Seator) untuk menyerang kubu lawan pada babak kedua. Indra berjaya mengalihkan perhatian pertahanan lawan dan ia memudahkan tugas saya untuk menggempur, " kata Safee.

Sementara itu, Dollah mengakui pemain-pemainnya keletihan ketika berdepan pasukan bimbingan Bojan Hodak kelmarin tetapi memuji semangat juang pemainnya yang tidak kenal erti putus asa walaupun ketinggalan seketika.

"Pemain saya agak keletihan selepas kami berdepan Perak di Ipoh kerana ketika itu mereka mempamerkan aksi 150 peratus sehingga menyebabkan aksi kami sedikit menurun malam ini.

"Tetapi sesetengah pemain tetap berjaya mempamerkan terbaik, Amri (Yahyah) umpamanya beraksi cemerlang sebagai bek kanan pada babak kedua walaupun ia bukan posisi asalnya. Dan semangat seperti ini yang kami perlukan untuk mencabar kejuaraan liga," katanya.