Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
14.02.08

Khir bangga

Oleh: Lokman Zainal Abidin (HARIAN METRO)

KEPUTUSAN luar jangkaan di Stadium Perak malam kelmarin jelas melegakan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan individu paling gembira dengan kejayaan bersejarah itu ialah Presiden, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor itu juga sudah mampu melakar senyuman kerana selain berjaya memadamkan badi kekalahan 10 tahun di stadium terbabit, dendam mereka kekalahan 2-4 di Stadium Shah Alam pada perlawanan sebelum ini berjaya dibalas.

Dua gol menerusi bekas awang import Perak, Frank Seator serta jaringan Safee Sali dan Amirulhadi Zainal meletakkan skuad Gergasi Merah berada dalam kedudukan selesa menjelang pertemuan dengan UPB/MyTeam, hujung minggu ini.

Setiausaha Agung FAS, Hamidin Mohd Amin berkata, Mohamad Khir nyata cukup gembira dengan kejayaan itu dan lebih manis apabila dapat dilakukan di hadapan penyokong skuad Seladang itu sendiri.

"Beliau memang gembira dan tidak keterlaluan jika saya katakan beliau menganggap perlawanan itu sebagai yang terbaik skuad Selangor setakat ini.

"Beliau berterima kasih kepada pemain yang menghadiahkan kemenangan itu kepadanya.

"Beliau juga melahirkan keyakinan tinggi terhadap kemampuan pemain dan percaya Selangor mampu merangkul sekurang-kurangnya satu gelaran musim ini dan sebagai pemimpin persatuan, tidak salah beliau mengimpikan kejayaan sebegitu memandangkan prestasi pasukan semakin bagus.

"Tetapi beliau juga berpesan kepada semua pemain supaya tidak leka dan mengingatkan pasukan supaya tidak terlalu ghairah. Perjalanan masih jauh dan mereka perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada perlawanan selepas ini.

"Kami berada di landasan terbaik untuk mencipta kejayaan yang diinginkan dan pemain juga sudah melaungkan azam untuk terus berusaha dengan gigih," katanya.