27.02.08
Merah Kuning di Simpang Lima
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
WARGA Simpang Lima berpeluang mendekati para pemain skuad Liga Super Selangor apabila mereka turun mengadakan satu klinik bola sepak petang ini.
Klinik yang akan bermula pukul 5 petang itu akan dijalankan di padang Sekolah Rendah Kebangsaan Simpang Lima, Sungai Besar.
Menurut Setiausaha Agung Persatan Bola Sepak Selangor (FAS), Hamidin Mohd. Amin, program itu turut diserikan dengan kehadiran Presiden FAS, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.
" Saya harap para peminat di sekitar kawasan berkenaan dapat turun beramai-ramai kerana mereka berpeluang bertemu dan mendekati para pemain skuad Merah Kuning," katanya kepada KOSMO! semalam.
Sementara itu, hari rehat tanpa aksi Liga Super malam tadi digunakan skuad Selangor untuk mengadakan perlawanan persahabatan bertemu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) petang semalam.
Aksi yang berlangsung di Padang Mindef itu menyaksikan Selangor menang 1-0.
Gol tunggal Selangor dijaringkan Elie Aboy pada separuh masa pertama.