Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
13.02.08

Perak 1-4 Selangor

Oleh: misai11 (selangorfc.com)

SELANGOR akhirnya berjaya menamatkan kemarau kemenangan di Stadium Perak, Ipoh sejak kali terakhir melakukannya pada Disember 1996.

Malam tadi, pasukan Selangor berjaya menewaskan Perak 4-1 di stadium keramat skuad Seladang itu dalam perlawanan pertama pusingan kedua Liga Super 2007/08.

Selangor tidak perlu menunggu lama apabila berjaya mendahului 1-0 pada minit ke-16 setelah bekas pemain Perak, Frank Seator berjaya merembat kencang dari dalam kotak penalti selepas menerima bola hantaran Safiq Rahim.

Biarpun diasak pasukan tuan rumah selepas itu, benteng Selangor berjaya menidakkan segala serangan Perak untuk membawa kedudukan 1-0 itu kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Perak bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan selepas empat minit permainan bersambung apabila bola rembatan Khalid Jamlus terkena tangan Evans Chisulo di dalam kotak penalti Selangor.

Penyerang import Perak, Carlos Caceres yang ditugaskan mengambil sepakan penalti itu berjaya menewaskan penjaga gol Selangor, Mohd. Suffian Ab. Rahman pada minit ke-49 untuk mengikat kedudukan 1-1.

Namun, kegembiraan pasukan tuan rumah tidak kekal lama apabila Seator menjaringkan gol kedua Selangor menerusi sepakan penalti setelah Safee Sali dijatuhkan pada minit ke-54.

Sembilan minit kemudian, giliran Safee pula meledak jaring gol Perak menerusi sepakan gunting menarik hasil hantaran lintang P. Gunalan yang sebelum itu menerima tolakan pendek sepakan penjuru daripada Safiq.

Ketika perlawanan seakan berakhir dengan kedudukan 3-1, pemain gantian, Amirul Hadi Zainal berjaya menjaringkan gol keempat Selangor pada masa kecederaan untuk kemenangan bergaya 4-1 buat skuad Merah Kuning.

SELANGOR:

21-MOHD. SUFFIAN AB. RAHMAN, 16-ABDUL GHANI RAHMAN, 4-EVANS CHISULO, 26-NASRIQ BAHAROM, 15-P.GUNALAN, 8-ELIE AIBOY (24-AMIRUL HADI ZAINAL), 25-SHUKOR ADAN, 28-SAFIQ RAHIM, 17-AMRI YAHYAH (11-R.SURENDRAN), 9-FRANK SEATOR, 10-SAFEE SALI (14-AKMAL RIZAL RAKHLI)

PEMAIN GANTIAN TAK DIGUNAKAN:

2-MOHD ZAIZA ZAINAL ABIDIN, 6-FADZIRUL ZAKARIA, 18-FADZILIDIN KHALID, 22-MEGAT AMIR FAISAL IBRAHIM, 27-MOHD. ASRARUDDIN PUTRA OMAR, 30-WAN MOHD HOESNE WAN HUSSAIN.