06.02.08
Persahabatan: Selangor 3-1 Proton FC
Oleh: misai11 (selangorfc.com)
SELANGOR tidak menghadapi masalah mencatat kemenangan selesa 3-1 ke atas Proton FC dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, petang tadi.
Meskipun hanya menyenaraikan barisan simpanan ekoran sembilan pemain utamanya menyertai latihan pusat skuad kebangsaan, Proton FC yang beraksi dalam Liga Perdana dilihat bukan lawan sebenar pasukan Selangor.
Dollah Salleh meletakkan penjaga gol kedua, Mohd. Suffian Ab. Rahman di pintu gol dengan dibantu Abdul Ghani Rahman, Zaiza Zainal, Fadzirul Zakaria dan Amri Yahyah di barisan pertahanan.
Azri Alwan Nordin dan Fadzilidin Khalid (kapten perlawanan ini) mengemudi jentera tengah dengan Elie Aiboy dan R. Surendran bertugas di bahagian sayap sambil Akmal Rizal Rakhli dan Wan Mohd Hoesne berganding sebagai penyerang.
Selangor berjaya mendahului 1-0 selepas hantaran silang Elie dari sebelah kanan berjaya ditolak masuk R. Surendran tetapi 10 minit kemudian penyerang import Proton berjaya menanduk masuk hantaran lintang.
Kedudukan tamat separuh masa ialah 1-1.
Babak kedua bermula, Selangor membuat dua pertukaran dengan memasukkan P. Gunalan dan Evans Chisulo bagi menggantikan Elie dan Fadzirul.
Hasilnya, Selangor berjaya mendahului 2-1 selepas Akmal merembat masuk dari luar kotak penalti.
Selepas itu, Dollah memasukkan penjaga gol ketiga, Muhamad Nuraizat Abd Aziz menggantikan Suffian dan Safiq Rahim menggantikan Azri Alwan.
Kemasukkan Safiq berhasil apabila pemain muda kebangsaan itu berjaya merembat deras dari luar kotak penalti dan terbias kaki pertahanan lawan seterusnya menerjah jaring untuk kemenangan 3-1 berpihak kepada Selangor.
Tiada kelibat Frank Seator dan D. Surendran dalam perlawanan petang tadi sementara penyerang muda, S. Sritharan dilihat hanya menjalani latihan ringan akibat kecederaan.