Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
29.02.08

Piala Presiden: Misi Selangor tercapai

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

SKUAD Piala Presiden Selangor berjaya merealisasikan misi mereka mencipta kemenangan selepas menewaskan Perlis 1-0 di Stadium Shah Alam petang semalam.

Selangor turun dengan penuh ‘luka’ selepas tewas mengejut 1-2 kepada Sabah minggu lalu.

Bagaimanapun, kemenangan semalam kembali melonjakkan semangat mereka untuk terus mengharungi perlawanan akan datang.

Pada aksi semalam, Selangor bagaimanapun kelihatan agak tertekan kerana gagal menembusi benteng Perlis sepanjang babak pertama.

Pada minit ke-62, tuan rumah makin tertekan apabila sepakan penalti yang diambil Mohd. Fauzan Dzulkifli berjaya diselamatkan penjaga gol Perlis, Hairol Fazreen Abu Hassan.

Namun, ketua pasukan, Mohd. Lukhman Noor Hakim Jaafar memberi kelegaan buat Selangor apabila gerakan solonya berjaya menghasilkan gol kemenangan pada minit ke-75.

Lukman berpeluang menambah jaringan Selangor tetapi percubaannya pada minit ke-89 sekadar terkena palang gol.

Dengan kemenangan itu, Selangor kini mengumpul 22 mata, sekali gus melonjak ke tangga kedua Kumpulan A di belakang Negeri Sembilan.

Perlawanan terakhir pusingan pertama Piala Presiden Isnin depan bakal menyaksikan Selangor bertandang ke Padang Pulapol, Kuala Lumpur untuk bertemu Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang kini berada di tangga ketiga.