28.02.08
Piala Presiden: Selangor ada azam baru
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!) dan Gambar: Osman Adnan
SKUAD Selangor mahu melupakan kekalahan 1-2 kepada Sabah di Kota Kinabalu minggu lalu apabila mereka melayan kunjungan Perlis dalam perlawanan Kumpulan A kejohanan bola sepak Piala Presiden di Stadium Shah Alam, petang ini.
Selepas 10 perlawanan, Selangor kini menghuni tangga ketiga dengan 19 mata manakala dua tangga teratas kumpulan berkenaan dihuni Negeri Sembilan dan PDRM, masing-masing dengan 22 dan 21 mata.
Dengan PDRM mengambil giliran untuk berehat pada aksi hari ini, Selangor berpeluang cerah memintas PDRM jika mereka memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.
Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Hamdan Hashim selaku koordinator skuad Piala Presiden Selangor berkata, pemainnya perlu melupakan kekecewaan minggu lalu dengan membangkitkan semangat baru untuk menghadapi Perlis.
"Selepas mereka (pemain) cemerlang menewaskan Tentera (6-0) dan Negeri Sembilan (1-0), prestasi pemain agak goyah selepas itu apabila kita hanya menang tipis 4-3 dengan Melaka dan terbaru tewas 1-2 kepada Sabah minggu lalu.
"Saya mahu para pemain bangkit semula dan lebih fokus kepada permainan. Saya yakin mereka boleh melakukannya," katanya ketika dihubungi KOSMO! semalam.
Jelas Hamdan, dia mensasarkan Selangor untuk menang dalam dua aksi terakhir pusingan pertama iaitu bertemu Perlis petang ini dan PDRM pada Isnin depan.
Pada perlawanan lain membabitkan pasukan tangga teratas Kumpulan A petang ini, Johor akan menanti kunjungan pendahulu kumpulan, Negeri Sembilan manakala Kuala Muda Naza bertemu pasukan di tangga keempat, Pulau Pinang.