Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
04.02.08

Seator tekad balas dendam

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

BIARPUN tidak beraksi pada perlawanan kelmarin, penyerang import Selangor, Frank Seator turut merasai kekecewaan selepas pasukan gergasi Merah Kuning itu tewas 2-4 kepada Perak di gelanggang sendiri.

Bagi Seator, 32, kegagalan memanfaatkan peluang menjaringkan gol serta beberapa kesilapan mudah yang dilakukan pemain-pemain Selangor menjadi punca kepada kekalahan itu.

"Walaupun saya hanya menyaksikan perlawanan dari tempat duduk penonton, tetapi sebagai pemain, saya turut berasa kecewa.

"Lebih-lebih lagi apabila saya tak dapat turun beraksi bagi membantu pasukan Selangor. Memang saya kecewa," katanya ketika dihubungi KOSMO! semalam.

Namun, penyerang dari Liberia itu tidak mahu rakan-rakannya serta penyokong setia Selangor terus dirundung kecewa dengan berjanji menebus kehampaan itu pada perlawanan kedua 12 Februari depan.

"Saya memang tak sabar nak beraksi menentang Perak di Ipoh nanti. Saya dah tengok bagaimana Perak beraksi semalam (kelmarin) dan saya yakin Selangor boleh menang di sana jika kita main dengan baik," tegasnya.

Seator tidak beraksi kelmarin kerana digantung satu perlawanan selepas menerima tiga kad kuning dan setakat ini dia sudah menjaringkan enam gol buat Selangor.

Sementara itu, ketua jurulatih Selangor, Dollah Salleh mengakui ketiadaan Seator sedikit sebanyak menyebabkan jentera serangannya kurang berkesan untuk membolosi pintu gol Perak kelmarin.

"Memang terasa juga kehilangan Seator. Lihat saja malam ini (kelmarin), kita dapat banyak peluang tapi tak dapat masukkan ke dalam gol.

"Kelekaan di bahagian pertahanan menjadi punca kita tewas. Kita sepatutnya kena fokus sepanjang 90 minit perlawanan," kata Dollah sejurus selepas perlawanan kelmarin.

Pada perlawanan kelmarin, Selangor menggandingkan Safee Sali dan Akmal Rizal Rakhli di barisan serangan tetapi kedua-dua penyerang itu tidak menampakkan keserasian selain banyak mempersiakan peluang terhidang.

Ditanya tentang penampilan pertama Elie Aiboy, Dollah berkata, pemain kebangsaan Indonesia itu tidak dapat beraksi di tahap maksimum kerana baru dua hari turun berlatih setelah berehat beberapa hari selepas tamat saingan Liga Indonesia minggu lepas.