17.02.08
Selangor 2-1 UPB-MyTeam
Oleh: misai11 (selangorfc.com)
JARINGAN penyerang kebangsaan, Mohd. Safee Sali (gambar) ketika perlawanan berbaki lapan minit menyelamatkan Selangor untuk mengutip tiga mata penuh dengan menewaskan UPB-MyTeam 2-1 di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Selangor bagaimanapun terlebih dahulu ketinggalan 0-1 pada minit ke-13 apabila sepakan lambung ketua pasukan UPB-MyTeam, Khaironisam Sahabuddin berjaya memerangkap penjaga gol Selangor, Mohd. Suffian Abdul Rahman.
Namun, Selangor berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-37 setelah sepakan penjuru Elie Aiboy berjaya ditolak masuk dengan baik oleh Frank Seator untuk menewaskan Syed Adney Syed Hussein.
Pada penghujung babak pertama, tindakan pengadil perlawanan, Manjit Singh meniup wisel penamat menimbulkan tanda tanya kerana jam di papan markah ketika itu baru menunjukkan 44 minit.
Manjit yang menyedari kesilapannya itu, meneruskan semula perlawanan sehingga minit ke-45 dan disusuli tambahan masa dua minit dengan kedua-dua pasukan terikat 1-1 ketika itu.
Babak kedua berlangsung dengan kedua-dua pasukan terus melakukan serangan berbahaya ke arah kubu lawan masing-masing.
Selangor dan UPB-MyTeam masing-masing sepatutnya sudah dapat menambah jaringan kedua masing-masing tetapi dua 'jaringan' bagi setiap pasukan itu dibatalkan pengadil kerana offside.
Ketika 10,000 penyokong setia Selangor makin resah apabila permainan semakin menuju masa penamat, Safee berjaya meledakkan rembatan leret yang gagal diselamatkan Syed Adney pada minit ke-82 untuk memberi kemenangan 2-1 buat Selangor.
SELANGOR:
21-MOHD. SUFFIAN ABDUL RAHMAN, 16-ABDUL GHANI RAHMAN (23-INDRA PUTRA MAHAYUDDIN), 4-EVANS CHISULO, 26-NASRIQ BAHAROM, 15-P.GUNALAN, 8-ELIE AIBOY (24-AMIRUL HADI ZAINAL), 25-SHUKOR ADAN, 28-SAFIQ RAHIM (11-R.SURENDRAN), 17-AMRI YAHYAH, 9-FRANK SEATOR, 10-SAFEE SALI