Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
02.02.08

Selangor 2-4 Perak

Oleh: misai11 (selangorfc.com)

SELANGOR gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila tewas 2-4 kepada Perak dalam saingan Liga Super di Stadium Shah Alam malam tadi.

Mendapat sentuhan sulung pemain import Indonesia, Elie Aiboy, tuan rumah tampak garang apabila berjaya mendahului 1-0 seawal minit ke-15 menerusi sepakan percuma menarik bekas pemain Perak, Indra Putra Mahayuddin.

Namun, ia hanya bertahan tiga minit kerana pertahanan import Perak, Mario Estaban berjaya menanduk masuk sepakan percuma Shahrulnizam Mustafa menewaskan Megat Amir Faisal untuk kedudukan 1-1.

Megat tewas buat kali kedua pada minit ke-35 apabila dia hanya mampu melihat saja rembatan lambung dari luar kotak penalti oleh Shahrulinizam terus menerjah jaring untuk Perak mendahului 2-1 pada babak pertama.

Selangor bagaimanapun hanya memerlukan 11 minit selepas separuh masa kedua dimulakan apabila menyamakan kedudukan 2-2 menerusi tolakan Amri Yahyah yang telah tertampan masuk ke gawang sendiri oleh pertahanan Perak, Chan Wing Hong.

Penyerang import dari Chile, Carlos Caceres turut membuktikan ketajaman penyudahnya apabila jaringannya pada minit ke-63 kembali meletakkan Perak mendahului 3-2.

Selangor nyaris menyamakan kedudukan pada minit ke-71 tetapi peluang keemasan yang dimiliki Mohd. Safee Sali di dalam kotak penalti dipersiakan dengan rembatan liar melepasi palang gol Perak.

Pada minit ke-78, bekas penyerang Selangor, Khalid Jamlus akhirnya melenyapkan terus sisa perjuangan barisan Merah Kuning apabila menolak masuk hantaran K. Nanthakumar untuk kemenangan mutlak 4-2 kepada Perak.

Dengan kemenangan itu, Perak berjaya melonjak ke tangga kedua Liga Super dengan 24 mata sambil Selangor turun ke tangga ketiga dengan 23 mata.

SELANGOR:

22-MEGAT AMIR FAISAL, 3-RAZMAN ROSLAN, 4-EVANS CHISULO, 26-NASRIQ BAHAROM, 15-P.GUNALAN, 8-ELIE AIBOY (11-R.SURENDRAN), 25-SHUKOR ADAN, 17-AMRI YAHYAH, 23-INDRA PUTRA MAHAYUDDIN, 14-AKMAL RIZAL RAKHLI (24-AMIRUL HADI ZAINAL), 10-SAFEE SALI