12.02.08
Selangor ada hajat besar
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

KELMARIN pasukan Manchester City berjaya mencatat sejarah tersendiri apabila menewaskan Manchester United 2-1 di Old Trafford buat kali pertama setelah mereka melakukannya kali terakhir pada 1974.
Malam ini pula, skrip yang sama turut mahu dijejaki pasukan Selangor apabila mereka turun bertemu Perak dalam perlawanan pertama pusingan kedua Liga Super di Stadium Perak, Ipoh.
Berdasarkan rekod, kali terakhir Selangor berjaya menumpaskan Perak di stadium berkenaan adalah pada tahun 1996 ketika saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia.
Ketika aksi pada 7 Disember 1996 itu, Selangor menang 2-1 menerusi jaringan Abdul Talib Sulaiman dan Azman Adnan manakala gol tunggal Perak dijaringkan pemain import, Samuel Chebli.
Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Hamidin Mohd. Amin (gambar), berbekalkan semangat membara para pemain Selangor, adalah tidak mustahil Perak dapat ditumbangkan di gelanggang sendiri mereka malam ini.
"Saya tengok pemain-pemain Selangor begitu bersemangat menjelang perlawanan dengan Perak ini dan kita pergi ke tempat lawan tanpa sebarang tekanan.
"Lagipun, saya tengok Perak musim ini tidaklah terlalu kuat seperti dulu. Walaupun peluang menang saya anggap 50-50, tapi saya yakin Selangor boleh menang," katanya ketika dihubungi KOSMO! semalam.
Namun, Hamidin tetap mempunyai rasa hormat terhadap pasukan lawan dengan menyifatkan Perak merupakan lawan yang paling liat untuk ditewaskan Selangor.
"Memang berdasarkan rekod, kita susah nak menang dengan Perak. Tapi naluri saya merasakan rekod Perak akan lebur esok (malam ini)," ujarnya.
Menurut Hamidin, keyakinan itu adalah berdasarkan barisan pemain Selangor malam ini tetap mantap dengan diperkuat kehadiran dua bekas pemain Perak iaitu Frank Seator dan R. Surendran.
"Indra Putra Mahayuddin dan Razman Roslan tak dapat main, tapi saya yakin pemain-pemain lain akan dapat menggalas tugas masing-masing," katanya.