25.02.08
Selangor, Perak hampiri Kedah
Oleh: Mohd Fadzrie Hazis (BERITA HARIAN)
KEMENANGAN Selangor dan Perak masing-masing ke atas DPMM dan Polis dalam saingan Liga Super kelmarin mencerahkan peluang kedua-dua pasukan itu untuk terus menghambat Kedah di persada liga.
Selangor kini di tangga kedua dengan 32 mata daripada 15 perlawanan sementara Perak ketiga dengan 28 mata.
Selangor yang beraksi tanpa kapten pasukan, Shukor Adan pada pertemuan dengan DPMM di gelanggang lawan, masih mampu melakar kemenangan dan jurulatih Selangor, Dollah Salleh berharap rentak kemenangan Merah Kuning berterusan selepas ini.
"Bukan mudah untuk mencapai tahap terbaik seperti sekarang dan saya berharap pemain akan meneruskan usaha keras untuk mengekalkan tahap ini.
"Saya berpuashati dengan aksi pemain semalam (kelmarin), Indra (Putra Mahayuddin) menjalankan tugas dengan baik selaku penggerak bahagian tengah mengisi ketiadaan Shukor.
"Kami menguasai sepenuhnya babak kedua perlawanan dan kemenangan semalam (kelmarin) amat penting bagi memastikan kami terus merapatkan jurang mata dengan Kedah," kata Dollah.