Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
26.02.08

Selangor serba boleh

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

PEMAIN Selangor serba boleh. Mereka boleh beraksi pada mana-mana posisi selain daripada posisi asal mereka.

Jika sebelum ini pemain sayap, Amri Yahyah ditukarkan ke posisi bek kanan, terbaru ketiadaan ketua pasukan, Shukor Adan pada aksi menentang Brunei DPMM, Sabtu lalu menyaksikan Razman Roslan dan Indra Putra Mahayuddin pula diletakkan sebagai pemain tengah.

Pada perlawanan yang dikuasai Selangor 2-1 itu, Indra Putra yang sebelum ini beraksi sebagai pemain sayap kiri bergandingan dengan pemain tengah, Safiq Rahim sebelum Razman masuk menggantikan Safiq pada babak kedua.

Razman, 24, yang ketika itu baru beraksi selama lima minit, nyata membawa tuah buat Selangor apabila menjaringkan gol kemenangan selepas Indra Putra menghasilkan gol pertama sebelum pemain Brunei DPMM, Subhi Abdillah Bakir menyamakan kedudukan.

Menurut Razman, aksi menentang Brunei DPMM itu merupakan perlawanan pertamanya setelah tidak tersenarai dalam tiga perlawanan terakhir Selangor sebelum ini akibat penggantungan kad kuning serta mengalami kecederaan hamstring.

"Memang saya gembira dan puas dapat menjaringkan gol kemenangan Selangor selepas dimasukkan sebagai pemain gantian. Lebih manis lagi, ia adalah gol pertama saya musim ini," katanya.

Razman memberitahu, sebelum ini dia lebih banyak diturunkan sebagai bek tengah untuk bergandingan dengan Evans Chisulo dan sesekali diletakkan sebagai bek kanan.

"Jika diletakkan di posisi tengah pada perlawanan akan datang, saya tak kisah dan terpulanglah kepada jurulatih. Sebagai pemain, saya akan beraksi bersungguh-sungguh dan membalas kepercayaan apabila diberi peluang," jelas pemain yang berasal dari Sungai Tangkas, Kajang itu.

Dengan perkembangan terbaru itu, jurulatih Selangor, Dollah Salleh kini mempunyai lebih banyak pilihan untuk diletakkan di posisi tengah menjelang perlawanan ke-16 Liga Super bertemu Terengganu di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Selangor akan berehat pada saingan Liga Super malam ini tetapi terus kekal berada di tangga kedua dengan 32 mata memandangkan pasukan tempat ketiga, Perak hanya akan mengutip 31 mata jika mereka berjaya menewaskan Pahang.