07.02.08
Selangor tetap berlatih biarpun cuti
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
TAHUN Baru Cina yang disambut hari ini merupakan cuti umum bagi seluruh negara, tetapi bukan buat skuad Liga Super Selangor.
"Tiada cuti, latihan tetap dijalankan," kata jurulatihnya, Dollah Salleh.
Memandangkan perlawanan menentang Perak di Ipoh akan berlangsung minggu depan, ketua jurulatih Selangor itu perlu menggandakan latihan bagi memastikan pasukannya berada pada prestasi terbaik.
"Sepanjang minggu ini kami telah berlatih tanpa sembilan pemain yang menyertai latihan skuad kebangsaan.
"Hanya petang esok (hari ini) mereka akan kembali menyertai latihan. Jadi, tiadalah cuti sempena Tahun Baru Cina ini," katanya ketika ditemui KOSMO! selepas perlawanan persahabatan menentang Proton FC di Stadium Shah Alam petang semalam.
Pada perlawanan itu, Selangor mencatat kemenangan 3-1 menerusi jaringan R. Surendran, Akmal Rizal Rakhli dan Safiq Rahim.
Hanya Safiq dan P. Gunalan daripada kalangan pelatih skuad kebangsaan yang turun beraksi pada perlawanan itu sementara tujuh yang lain iaitu Shukor Adan, Indra Putra Mahayuddin, Razman Roslan, Safee Sali, Asraruddin Putra Omar, Nasriq Baharom dan Amirul Hadi Zainal tidak kelihatan.
Menjelang perlawanan menentang Perak Selasa ini, Dollah berkata bahawa hanya seorang pemain tidak dapat diturunkan iaitu Razman yang digantung satu perlawanan selepas mengumpul tiga kad kuning.