Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
21.02.08

Sentuhan Safee makin berbisa

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

SENTUHAN penyudah penyerang Selangor, Mohd. Safee Sali semakin berbisa.

Terbaru, penyerang berusia 24 tahun itu mencipta hatrik keduanya musim ini ketika membantu Selangor membelasah Brunei DPMM 5-1 pada perlawanan pertama pusingan pertama Piala FA, malam kelmarin.

Bagi Safee, dia menyifatkan taktikal pasukan Selangor yang berorientasikan serangan serta persembahan cemerlang rakan-rakan sepasukan banyak membantunya untuk menggegar jaring gol Brunei DPMM sebanyak tiga kali.

"Memang saya puas hati dengan persembahan pasukan malam ini (kelmarin) kerana kita memang banyak melakukan serangan ke kubu Brunei DPMM sejak awal perlawanan lagi.

"Bagi saya, gol kedua paling istimewa buat saya kerana jarang mendapat peluang seperti itu dan menyempurnakannya dengan cantik," katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Selain tiga jaringan Safee pada minit ke-15, ke-35 dan ke-63 itu, dua lagi gol Selangor disumbangkan Frank Seator (minit ke-69) dan Akmal Rizal Rakhli (minit ke-80) manakala Hasnawi Ismail menjaringkan gol tunggal Brunei DPMM pada minit ke-82.

Safee yang sudah menjaringkan 12 gol dalam 12 perlawanan musim ini berkata, dia yakin untuk terus menghasilkan lebih banyak gol selepas ini andai Selangor dapat meneruskan momentum kemenangan.

Sementara itu, ketua jurulatih Selangor, Dollah Salleh menolak kemungkinan untuk menurunkan barisan simpanan saja pada perlawanan kedua di tempat lawan pada 4 Mac depan biarpun pasukannya membawa bekalan selesa.

"Beza empat gol masih belum selesa. Dalam bola sepak, macam-macam boleh berlaku. Lagipun, Brunei DPMM memang kuat di tempat sendiri, Kedah pun pernah tewas di sana.

"Bagi perlawanan tadi (kelmarin), saya sangat bangga dengan semangat juang pemain Selangor kerana mereka telah mempamerkan permainan menarik serta menyempurnakan dengan baik peluang yang ada," katanya.

Sebelum perlawanan kedua Piala FA yang akan berlangsung dua minggu lagi, Selangor terlebih dahulu akan berkunjung ke Bandar Seri Begawan Sabtu ini untuk menentang Brunei DPMM sekali lagi dalam saingan Liga Super.