Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
19.02.08

Shukor tolak tepi hukuman

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

KAPTEN Selangor, Muhammad Shukor Adan mahu melupakan seketika penggantungannya dalam saingan Liga Super apabila turun beraksi dalam perlawanan pusingan pertama Piala FA menentang Brunei DPMM di Stadium Shah Alam malam ini.

Pada Sabtu lalu, ketika Selangor menang 2-1 ke atas UPB-MyTeam, Shukor telah mengutip kad kuning ketiganya, sekali gus terpaksa menjadi penonton apabila Selangor menentang Brunei DPMM pada aksi Liga Super Sabtu ini.

"Buat masa ini, saya tak mahu fikirkan tentang penggantungan itu. Yang penting, saya mahu memberi tumpuan sepenuhnya untuk perlawanan esok (malam ini).

"Perlawanan Piala FA ini lebih penting kerana sebagai tuan rumah, Selangor perlu mencari seberapa banyak gol untuk dijadikan bekalan pada pusingan kedua nanti (4 Mac) di tempat lawan," katanya semalam.

Sebelum ini, dalam perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam pada 26 Januari lalu, Selangor berjaya menewaskan Brunei DPMM 2-1 hasil jaringan Mohd. Safee Sali dan sepakan penalti Frank Seator.

Berdasarkan perlawanan tersebut, Shukor, 29, berkata, Selangor perlu berhati-hati malam ini kerana kelab dari Brunei itu bukan calang-calang pasukan memandangkan mereka mempunyai barisan pemain import yang hebat.

"Memang kadang-kadang kita tengok prestasi Brunei DPMM ini tak menentu. Tapi, biasalah, pasukan yang akan menentang Selangor pasti akan beraksi bersungguh-sungguh terutama jika main di Shah Alam," ujarnya.

Lantas, pemain yang sudah tujuh musim bersama Selangor itu mengajak rakan-rakan sepasukannya untuk meneruskan momentum kemenangan dengan menampilkan persembahan bertenaga malam ini.