16.02.08
Skuad Gergasi Merah enggan keciciran mata
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
SELANGOR tidak rela tercicir sebarang mata apabila turun melayan kunjungan UPB-MyTeam pada perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam malam ini.
Andai Selangor sekadar mencatat keputusan seri atau tewas, Kedah pasti akan terus menjarakkan mata mereka dan semakin selesa menerajui kedudukan liga.
Kedah kini mengumpul 28 mata selepas mengharungi 12 perlawanan sementara Selangor menduduki tangga kedua dengan 26 mata selepas 13 perlawanan.
Jurulatih Selangor, Dollah Salleh berkata, dia mahu anak-anak buahnya beraksi seperti biasa malam ini tanpa sebarang rasa terlalu yakin biarpun masih segar dengan kemenangan 4-1 ke atas Perak, Selasa lalu.
"Kita akan layan semua pasukan sama saja, tak kira mereka kuat atau lemah. Saya tak mahu pemain Selangor cepat berpuas hati kerana banyak lagi perlawanan liga yang perlu kita harungi.
"Apa yang paling penting, kita tak boleh keciciran mata dalam perlawanan ini. Kalau tidak, Kedah akan ambil peluang untuk menjarakkan diri," katanya kepada KOSMO! semalam.
Justeru, Dollah bakal menurunkan kesebelasan terbaiknya bagi memusnahkan UPB-MyTeam seperti mana yang mereka lakukan ketika menewaskan pasukan tersebut 2-0 dalam perlawanan pusingan pertama sebelum ini.
"Alhamdulillah, tiada pemain kita yang digantung perlawanan. Indra Putra Mahayuddin pun sudah boleh beraksi kembali. Cuma Mohd. Razman Roslan saja mengalami kecederaan hamstring," ujarnya.