Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
15.02.08

Suffian sedia jaga gawang Selangor

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

PENJAGA gol kedua Selangor, Mohd. Suffian Abdul Rahman menyatakan kesediaannya untuk terus diturunkan dalam kesebelasan utama menjelang perlawanan menentang UPB-MyTeam pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam esok.

Suffian diturunkan buat pertama kali dalam kesebelasan utama ketika Selangor menewaskan Perak 4-1 di Ipoh Selasa lalu selepas penjaga gol utama, Megat Amir Faisal mengalami demam.

Pada perlawanan tersebut, kekebalan Suffian tidak dapat dinafikan kerana dia berjaya menidakkan beberapa percubaan berbahaya daripada penyerang Perak, Khalid Jamlus dan Carlos Caceres.

Suffian berkata, keazaman untuk membalas kepercayaan yang diberikan jurulatih Dollah Salleh membuatkannya beraksi cemerlang dan penuh yakin pada perlawanan itu.

“Sewaktu makan tengah hari pada hari perlawanan, jurulatih ada tanya saya, boleh main atau tidak. Saya kata tidak ada masalah dan yakin untuk turun beraksi.

“Alhamdulillah, dengan bantuan daripada rakan-rakan lain di atas padang, saya berjaya mengawal pintu gol dengan baik. Cuma satu gol saja bolos melalui sepakan penalti,” katanya ketika dihubungi KOSMO! semalam.

Sebelum menyertai Selangor musim ini, penjaga gol simpanan skuad kebangsaan pada Kejohanan Piala Asia 2007 itu pernah beraksi bersama Negeri Sembilan dan Telekom Melaka FC (TMFC).

Ditanya adakah pusingan kedua Liga Super yang bermula Selasa lalu bakal menjadi detik kebangkitan buat dirinya merampas posisi penjaga gol utama Selangor, Suffian berkata, dia bersedia untuk bersaing secara sihat.

“Memang saya sentiasa berkeinginan untuk turun dalam kesebelasan utama dan sentiasa bersedia.

“Kami akan bersaing secara sihat dan terserah kepada jurulatih memilih mana yang terbaik untuk diturunkan,” jelasnya.

Andai terpilih beraksi malam esok, Suffian bakal membuat kemunculan sulung di hadapan penyokong sendiri.

“Bagi perlawanan Sabtu ini (esok), kami tidak akan terlebih yakin walaupun menang besar ke atas Perak kerana UPB-MyTeam pun bukan calang-calang pasukan,” kata Suffian.