27.03.08

4 pemain Selangor 'cabut lari'

Oleh: Mohd Fadzrie Hazis (BERITA HARIAN)

HARI terakhir klinik bola sepak Ian Rush menjadi kecoh apabila empat pemain Selangor - Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Safee Sali, Indra Putra Mahayuddin dan Amirulhadi Zainal secara tiba-tiba meninggalkan gelanggang lebih awal tanpa kebenaran, petang semalam.

Difahamkan, jurulatih Selangor, Dollah Salleh menghubungi jurulatih skuad negara, B Sathianathan memohon pelepasan keempat-empat pemainnya yang terbabit dalam perlawanan kedua, pusingan kedua Piala FA menentang Perak di Stadium Shah Alam malam ini, tetapi gagal mendapat pelepasan pemainnya.

Sathia ketika dihubungi, mengesahkan Dollah menghubunginya tetapi ketika itu dia tidak dapat memberi pelepasan kerana adalah tidak adil bagi pemain daripada pasukan lain, tambahan ini adalah kem latihan bagi penyerang kebangsaan.

Selepas gagal mendapat pelepasan, pemain Selangor terbabit dikatakan terus meninggalkan kem latihan walaupun tanpa kebenaran dan tindakan itu mengecewakan Sathia.

"Saya terkilan dengan tindakan pemain ini kerana meninggalkan kem latihan tanpa kebenaran. Walaupun ini bukan latihan pusat skuad kebangsaan, ia adalah klinik khas buat penyerang kebangsaan.

"Tindakan mereka juga mengecewakan Rush, kerana dia sebelum ini terpikat dengan kebolehan Safee dan Akmal. Dia juga mahu menilai Indra selepas dia tidak dapat berlatih semalam (kelmarin) kerana mengalami kecederaan.

"Saya akan menghantar laporan kepada Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (Datuk Azzuddin Ahmad) esok (hari ini) dan terserah kepada badan induk itu mengambil tindakan lanjut," kata Sathia.

Azzuddin ketika dihubungi mengesahkan sudah dimaklumkan mengenai tindakan empat pemain Selangor itu, tetapi tindakan akan hanya diambil selepas dia menerima laporan penuh daripada Sathia.

"Tindakan keempat-empat pemain itu mengecewakan saya, tetapi saya tidak boleh nyatakan bentuk tindakan dikenakan kerana harus meneliti terlebih dulu laporan Sathia. Selepas itu baru saya akan mengemukakan perkara itu dalam mesyuarat exco FAM. Jika didapati ada kewajarannya baru Persatuan Bola Sepak Selangor akan diberi surat tunjuk sebab," kata Azzuddin.

Sementara itu, Dollah ketika dihubungi menyuarakan hujah dia memerlukan kehadiran keempat-empat pemain itu bagi sesi latihan, semalam sebagai persiapan menghadapi Perak dalam perlawanan Piala FA, malam ini.

"Mereka hanya menghadiri klinik bola sepak, FAM seharusnya faham bahawa ini adalah perlawanan penting buat kami. Kami pernah berkorban demi skuad kebangsaan sebelum ini, mengapa mereka tidak boleh dilepaskan apabila kami bakal menghadapi perlawanan penting, " kata Dollah.