13.03.08
Akmal masih menyengat
Oleh: Mohd Fadzrie Hazis (BERITA HARIAN)
EMPAT gol dalam dua perlawanan bersama Selangor membuktikan Akmal Rizal Ahmad Rakhli masih mempunyai sentuhan jaringannya, dan sedia bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan bimbingan Dollah Salleh itu.
Dua jaringan bekas penyerang Kedah itu ketika membenam Polis 2-1 dalam aksi Liga Super kelmarin juga membolehkan Selangor kembali ke tangga kedua, namun kehadiran semula Safee Sali daripada penggantungan selepas ini membuatkan kedudukan Akmal untuk kekal dalam kesebelasan utama masih belum terjamin.
"Saya gembira dapat membantu kemenangan pasukan malam ini (kelmarin). Saya tahu Safee kembali selepas ini tetapi jika boleh saya mahu kekal berada dalam kesebelasan utama.
"Tetapi ia terpulang kepada Dollah selaku jurulatih untuk membuat keputusan. Walaupun jika saya kembali digunakan hanya sebagai pemain gantian selepas ini, saya akan tetap memberikan aksi terbaik kerana apa yang penting bagi saya adalah kemenangan buat Selangor," kata Akmal.
Dollah juga mengakui dia memerlukan masa untuk menilai tahap permainan Akmal dan Safee sebelum membuat keputusan siapa yang akan diturunkan untuk perlawanan dengan Pahang dalam saingan Liga Super Sabtu ini.
"Memang ia sedikit memeningkan saya, Akmal kini sudah membuktikan kemampuannya dan Safee juga boleh kembali diturunkan selepas ini. Saya akan tentukan dalam masa dua atau tiga hari ini siapa yang akan diturunkan selaku penyerang utama Sabtu ini," kata Dollah.
Walaupun gembira pasukannya kembali merampas kedudukan di tangga kedua, Dollah mengakui dia kecewa dengan aksi hambar yang dipamerkan pasukannya kelmarin kerana baginya mereka mampu beraksi jauh lebih baik.
"Saya tidak gembira dengan aksi keseluruhan pasukan hari ini. Bagi saya kami beraksi hambar pada hari ini (kelmarin) dan semua bahagian tidak berfungsi dengan baik. Kami menang hari ini (kelmarin) kerana penyerang kami dapat menyempurnakan peluang gol yang dicipta.
"Ya, saya gembira dapat merapatkan jurang dengan Kedah tetapi kami tidak boleh lagi mensia-siakan pungutan mata selepas ini dan pemain perlu meningkatkan kembali permainan mereka apabila bertemu Pahang," kata Dollah.
Kemenangan Selangor kelmarin membolehkan juara Piala Malaysia 30 kali itu kini menghuni tangga kedua dengan 36 mata daripada 17 perlawanan, dua mata di belakang Kedah yang tidak beraksi kelmarin kerana terbabit dengan Piala AFC.
Namun, kelebihan masih dimiliki Kedah yang mempunyai satu perlawanan dalam tangan dan dijangka tidak akan berdepan masalah untuk mencatat tiga mata berdepan pasukan tangga kesembilan, UPB-MyTeam Sabtu ini walaupun beraksi di gelanggang lawan.
Pasukan tangga ketiga, Perak yang tidak beraksi kelmarin kerana terbabit dengan Piala AFC juga tidak jauh di belakang Selangor dengan 34 mata dan pasukan bimbingan Steve Darby itu pasti mahu mencatat tiga mata berharga di tempat sendiri berdepan pasukan di tangga tercorot, Pulau Pinang Sabtu ini.