Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
14.03.08

Akmal, Safee taruhan Dollah

Oleh: Mohd Fadzrie Hazis (BERITA HARIAN)

GANDINGAN serangan Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Safee Sali bakal menjadi pilihan jurulatih Selangor, Dollah Salleh menjelang pertemuan dengan Pahang dalam saingan Liga Super di Stadium Shah Alam, esok.

Bekas penyerang kebangsaan itu tidak menolak kemungkinan kembali menggunakan gandingan serangan itu yang menjadi pilihannya musim lalu memandang prestasi penyerang import dari Liberia, Frank Seator kini sedikit menurun.

"Kemungkinan juga saya akan kembali menggunakan gandingan Akmal-Safee dan merehatkan Frank, tetapi saya masih belum membuat sebarang keputusan. Ketika latihan pagi tadi (semalam), saya masih belum menyusun barisan kesebelasan utama berdepan Pahang.

"Saya akan berbincang dengan beberapa pemain senior untuk mendengar pandangan mereka sebelum membuat sebarang keputusan mengenai kesebelasan utama berdepan Pahang nanti," kata Dollah.

Walaupun terdapat kemungkinan Seator akan direhatkan, Dollah menegaskan pemain sayap Indonesia, Elie Aiboy masih mendapat kepercayaannya walaupun bekas pemain kelab Persija dan Arema Malang itu juga mempamerkan aksi sedikit hambar ketika pertemuan dengan Polis, Selasa lalu.

"Walaupun aksi Elie sedikit hambar ketika bertemu Polis, dia adalah seorang pemain istimewa dan dia tetap mempunyai kualiti tersendiri yang mampu membantu pasukan.

"Elie tetap mendapat kepercayaan saya, dan dia juga seorang pemain yang berdedikasi dan komited terhadap pasukan. Saya yakin Elie akan berusaha meningkat kembali permainannya Sabtu ini, " kata Dollah.

Sementara itu, satu lagi masalah yang perlu dihadapi Dollah ialah mengisi kekosongan Nasriq Bahrom selaku kuota pemain bawah 21 tahun yang digantung satu perlawanan selepas mengutip tiga kad kuning.

Tiada masalah bagi Dollah mengisi kekosongan Nasriq sebagai pemain pertahanan, tetapi dia harus merehatkan pemain di posisi lain bagi memberi laluan kepada seorang pemain berusia bawah 21 tahun beraksi dalam kesebelasan utama demi menuruti peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Pemain tengah, Safiq (Rahim) dan juga mungkin pemain bek kiri Asraruddin Putra akan diturunkan dalam kesebelasan utama. Apapun, saya belum membuat sebarang keputusan dan saya juga harus menilai prestasi terkini semua pemain esok (hari ini) sebelum menentukan kesebelasan utama," kata Dollah.