19.03.08
Akmal tunai janji gegar jaring
Oleh: Mohd Fadzrie Hazis (BERITA HARIAN)
BIARPUN kelibat Akmal Rizal Ahmad Rakhli hanya dapat disaksikan pada penghujung babak kedua pada perlawanan Liga Super antara Selangor dan Pahang Sabtu lalu, namun bekas penyerang Kedah itu tetap mengotakan janjinya untuk menjaringkan gol.
Ia adalah jaringan ketiga Akmal dalam dua perlawanan Liga Super, dan jelas membuktikan pemain yang pernah dilabel penyerang terbaik negara itu kini sudah mula menemui semula sentuhannya.
Bagi Akmal, dia merasakan dirinya kini sudah berada pada tahap terbaik dan menyedari hakikat dia harus berada dalam kesebelasan utama Selangor seandainya mahu merampas kembali tempat dalam skuad kebangsaan.
"Memang ketika ini saya rasakan tahap permainan saya semakin baik. Saya sudah menemui semula sentuhan gol ketika beraksi biarpun hanya diturunkan sebagai pemain gantian.
"Secara peribadi, sudah pasti saya mahu kembali berada dalam kesebelasan utama kerana hanya dengan cara itu saya dapat membuktikan keupayaan saya kepada jurulatih kebangsaan (B Sathianathan).
"Saya tahu reputasi saya sebelum ini tidak boleh dijadikan ukuran dan perlu membuktikannya sekarang jika mahu berada dalam skuad kebangsaan selepas ini," kata Akmal.
Namun, Akmal sedar ia adalah hak jurulatih Selangor, Dollah Salleh untuk menentukan kedudukannya dalam kesebelasan utamanya tetapi dia akan tetap mempamerkan kesungguhan apabila diturunkan walaupun sebagai pemain gantian.
"Sebagai jurulatih, Dollah yang menentukan kesebelasan utama pasukan dan sebagai pemain saya harus menghormati apa saja keputusannya. Apa pun saya akan meneruskan usaha untuk berada dalam kesebelasan utama tanpa putus asa," kata Akmal.
Kemampuan Akmal untuk kembali menggegarkan jaring lawan ketika ini juga berjaya menarik perhatian Sathianthan yang mengikuti perkembangan terkini Akmal bersama Selangor.
"Saya ada bertanya kepada Dollah mengenai Akmal, dan dia memberi tahu saya Akmal masih perlu meningkatkan tahap kecergasannya selepas pulih daripada kecederaan. Saya akan memantau pencapaian Akmal terlebih dulu sebelum kembali memanggilnya.
"Bagi saya, Akmal masih antara penyerang terbaik negara dan saya faham dia baru saja pulih daripada kecederaan dan saya akan memberikannya masa untuk membuktikan kemampuannya, " kata Sathianathan.