Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
09.03.08

Amri senjata rahsia Selangor

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

FLEKSIBILITI serta kebolehannya beraksi pada mana-mana posisi menjadikan pemain sayap Selangor, Mohd. Amri Yahyah (gambar) sebagai senjata sulit untuk mengelirukan pasukan lawan.

Menjelang perlawanan ke-17 Liga Super bertemu Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Selayang pada Selasa ini, percaturan ketua jurulatih Selangor, Dollah Salleh untuk meletakkan Amri pada mana-mana posisi bakal menyukarkan percaturan pihak lawan.

Jika terus diletakkan selaku bek kanan, kepantasan Amri bakal menyukarkan pergerakan penyerang lawan, tetapi andai kembali ke posisi sayap, kelincahan Amri pasti menyukarkan pertahanan lawan.

Namun, bagi Amri, sejak diletakkan di posisi bek kanan dalam lima perlawanan terakhir Selangor sebelum ini, dia tetap berasa selesa.

"Letak mana pun, saya akan beraksi bersungguh-sungguh. Insya-Allah, kalau ada peluang pada masa akan datang, saya akan kembali ke posisi sayap atau serangan seperti sebelum ini.

"Buat masa ini, saya boleh saja terus bermain sebagai bek kanan. Terpulang pada percaturan jurulatih, saya fleksibel dan tidak kisah beraksi pada mana-mana posisi, ," katanya kepada KOSMO! semalam.

Hanya dua posisi iaitu bek tengah dan penjaga gol yang tidak pernah dicuba Amri kerana selain posisi sayap dan bek kanan, pemain berusia 27 tahun itu pernah diletakkan selaku pemain midfield, penyerang dan juga bek kiri.

Pemain kelahiran Tanjung Karang itu juga merupakan menantu kepada pengurus pasukan Selangor, Datuk Mohd. Satim Diman.