23.03.08

Dollah bidas pertahanan kurang tumpuan

Oleh: Eric Samuel (THE STAR)

PETALING JAYA - Jurulatih Selangor, Dollah Salleh (gambar) berang dengan kerapuhan barisan pertahanannya yang melepaskan tiga gol dalam tempoh enam minit ketila aksi Piala FA bertemu Perak di Ipoh, Jumaat lalu.

Red Giants mendahului 4-1 selepas sejam perlawanan tetapi tiba-tiba tumpuan barisan pertahanan yang diketuai Evans Chisulo dan Razman Roslan merosot serta tertekan lalu membenarkan penyerang Perak, Mohd Razali Omar menjaringkan hatrik pada minit ke-60, 63 dan 66.

Selangor sebelum itu memperolehi kelebihan awal selepas penyerang kebangsaan, Mohd Safee Sali menjaringkan dua gol (16,59), selain pemain sayap Indonesia, Elie Aiboy (32) dan penyerang Liberia, Frank Seator (57) masing-masing menyumbat satu gol.

Perak hanya membuka tirai jaringan pada babak kedua menerusi kapten, Ahmad Shahrul Azhar pada minit ke-52.

"Kita mensia-siakan peluang menguasai perlawanan begitu saja," ujar Dollah dalam nada kecewa semalam.

"Pada awalnya, saya rasa seperti kita main di gelanggang sendiri dan begitu selesa selepas mendahului selesa tiga gol.

"Tapi, seperti semua pun terkejut, barisan pertahanan kami pula tertekan dengan asakan tuan rumah dan kini kami terpaksa bermula semula untuk perlawanan kedua minggu depan," tambah Dollah.

Selangor akan menanti kunjungan Perak dalam perlawanan kedua pusingan kedua di Stadium Shah Alam, Khamis ini.

Untuk memburukkan keadaan, Selangor bakal kehilangan pemain pertahanan, Nasriq Baharom yang menerima kad merah dalam aksi Piala FA di Ipoh itu.

"Saya langsung tidak risau dengan barisan tengah dan serangan kami," kata Dollah.

"Mereka sudah melakukan yang terbaik tetapi barisan pertahanan sentiasa merisaukan kerana aksi yang kurang konsisten," tambah Dollah.

+ TEKS ASAL DALAM BAHASA INGGERIS DAN TELAH DITERJEMAH OLEH SELANGORFC.COM