26.03.08

Dollah kukuhkan pertahanan

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

BOLOS empat gol ketika bertemu Perak di Ipoh Jumaat lalu membuatkan ketua jurulatih Selangor, Dollah Salleh terpaksa bekerja keras untuk mengukuhkan benteng pertahanannya.

Ia penting bagi memastikan Selangor dapat menewaskan Perak pada perlawanan kedua pusingan kedua Piala FA di Stadium Shah Alam, malam esok selepas mereka terikat 4-4 pada perlawanan pertama.

Menurut jurulatih berusia 45 tahun itu, jentera serangan yang meledak lapan gol dalam dua aksi terakhir tidak merisaukannya tetapi benteng pertahanan pula masih dianggap belum cukup mantap dalam dua perlawanan tersebut.

"Tiada formula khas pun saya gunakan. Cuma sepanjang sesi latihan beberapa hari ini, saya lebih banyak tumpu perhatian untuk memperbaiki bahagian pertahanan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Perlawanan di Ipoh Jumaat lalu menyaksikan Dollah meletakkan Evans Chisulo dan Nasriq Baharom di posisi bek tengah sementara Razman Roslan dan P. Gunalan masing-masing di posisi bek kanan dan kiri.

Namun, perubahan pasti berlaku pada posisi berkenaan malam esok setelah Nasriq, 21, digantung dua perlawanan akibat kad merah di Ipoh selain kehadiran semula Amri Yahyah yang sebelum ini digantung satu perlawanan.

"Tempat Nasriq akan diganti oleh Razman untuk bergandingan dengan Evans di posisi bek tengah. Amri pula mungkin akan kekal di posisi bek kanan," jelas Dollah.

Ditanya tentang prestasi Perak yang telah bolos 15 gol dalam tiga perlawanan terakhir mereka dan terbaru dibelasah 5-1 oleh Kedah kelmarin, Dollah mahu para pemain Selangor tidak terlalu yakin dengan situasi tersebut.

"Kita tak boleh yakin sangat. Saya tetap anggap Perak pasukan kuat dan kita tak boleh ambil mudah perlawanan Khamis ini (esok). Yang penting kita sendiri yang kena main betul-betul," tegasnya.

Dollah turut berharap empat pemain serangannya, Mohd. Safee Sali, Akmal Rizal Rakhli, Indra Putra Mahayuddin dan Amirul Hadi Zainal dapat membawa pulang sesuatu yang berguna daripada klinik tiga hari bersama Ian Rush yang berakhir hari ini.