15.03.08
Dollah lupakan erti persahabatan seketika
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
DUA sahabat karib, Dollah Salleh dan Zainal Abidin Hassan bakal bertarung sesama sendiri di Stadium Shah Alam malam ini.
Bagi Dollah, menentang pasukan yang dibimbing rakan baiknya itu sering dianggap sesuatu yang sukar kerana dia perlu mengetepikan sentimen persahabatan sepanjang perlawanan berlangsung.
"Bagi menghadapi perlawanan ini, saya kena lupakan seketika yang dia kawan saya. Walaupun malam ini (malam tadi) kami bertemu, berborak dan duduk makan semeja, tapi perancangan pasukan tetap rahsia.
"Saya juga anggap pasukan Pahang tetap hebat seperti pasukan lain. Kita akan bermain seperti biasa dan tetap mahukan kemenangan," kata Dollah ketika ditemui KOSMO! selepas sesi latihan di Stadium Shah Alam petang semalam.
Menurut jurulatih Selangor itu, beliau hanya akan mengumumkan kesebelasan utamanya hari ini sambil belum membuat keputusan dua pemain yang akan digandingkan di barisan serangan.
Ia sama ada Akmal Rizal Rakhli, Frank Seator atau Safee Sali.
"Safee memang ada dalam perancangan saya, Akmal pula beraksi baik dalam dua perlawanan sebelum ini, manakala Frank pun begitu bersemangat untuk turun beraksi.
"Yang bagusnya, saya kini ada banyak pilihan, tetapi saya perlu buat satu keputusan terbaik untuk memastikan jentera serangan Selangor berjaya membolosi kubu Pahang," jelasnya.
Tambah Dollah, posisi pertahanan tengah bakal diisi Razman Roslan dan Evans Chisulo memandangkan Nasriq Baharom digantung satu perlawanan akibat tiga kad kuning.
"Untuk slot pemain bawah 21 yang sebelum ini diisi Nasriq, saya juga masih belum putuskan mahu turunkan sama ada Safiq Rahim ataupun Asraruddin Putra Omar.
"Tadi (petang semalam) saya ada berbincang dengan Shukor Adan dan Indra Putra Mahayuddin bagi dapatkan pandangan mereka. Namun, keputusan akhir akan saya buat esok (hari ini)," jelasnya.
Dollah turut menasihatkan pemainnya supaya tidak memikirkan tentang peralihan pentadbiran Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang menerima presiden baru iaitu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor yang baru.
"Saya kata pada pemain, tumpuan kita hanyalah di padang. Biarlah perkara tersebut diselesaikan pihak pengurusan. Kalau ada perubahan pun, kita semua kena terima hakikat," katanya.