Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
28.03.08

FAM kecewa kes pemain 'cabut lari' dari klinik Rush

Oleh: Azidan Nahar dan Mohd Fadzrie Hazis (BERITA HARIAN)

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) - kecewa dengan perkembangan empat pemain Selangor yang 'cabut lari' dari klinik Ian Rush, kelmarin - akan tampil menuntut penjelasan daripada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sebelum sebarang hukuman dikenakan.

Timbalan Presidennya, Khairy Jamaluddin yang peka dengan insiden itu meminta Setiausaha Agong, Datuk Azzuddin Ahmad menulis surat kepada pihak terbabit itu menuntut penjelasan dan mahu mendapatkan segera gambaran sebenar.

"Kita minta mereka jelaskan kenapa pemain itu tidak ikut klinik sehingga sesi itu tamat. Ia jelas bercanggahan dengan apa yang kita utamakan dalam bola sepak," kata Khairy dalam sidang media pelancaran Jelajah Chelsea di Seri Kembangan, semalam.

Khairy mengulas insiden empat pemain penyerang Selangor - Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Mohd Safee Sali, Indra Putra Mahayuddin dan Amirulhadi Zainal meninggalkan klinik bola sepak Ian Rush lebih awal, kelmarin sehingga menyebabkan keadaan menjadi kecoh.

Keadaan itu dikatakan berpunca daripada arahan jurulatih Selangor, Dollah Salleh yang mahu pemainnya menyertai latihan skuad sebagai persiapan perlawanan Piala FA menentang Perak, semalam.

Bagi Dollah, dia sanggup bersemuka dengan FAM bagi menjelaskan tindakannya mengarahkan keempat-empat pemain itu kembali menjalani latihan bersama skuad Selangor kelmarin.

"Tidak perlu salahkan pemain, jika FAM mahukan saya tampil menjelaskan masalah ini saya akan berbuat demikian untuk menjelaskan tindakan saya dan menyelesaikan perkara ini secara baik, " kata Dollah yang ditemui selepas Majlis Sarapan Pagi Pemain-pemain Selangor bersama Menteri Besar Selangor, semalam.