16.03.08
Selangor 4-3 Pahang
Oleh: BERNAMA
PASUKAN Kedah, Selangor dan Perak terus mengukuhkan kedudukan mereka pada tiga tangga teratas pertandingan bola sepak Liga Super selepas masing-masing mencatatkan kemenangan pada perlawanan malam tadi.
Di Stadium Shah Alam, Selangor menewaskan Pahang 4-3 tetapi pasukan pelawat membuat kejutan awal dengan dua jaringan pada separuh masa pertama menerusi Hairuddin Omar pada minit ke-43 dan Rosli Talib (minit ke-46).
Namun, pada babak kedua, Selangor bangkit dengan empat jaringan dimulakan oleh Mohd Safee Sali pada minit ke-52 diikuti jaringan Frank Seator (minit ke-79 dan 88) dan bekas penyerang kebangsaan Akmal Rizal Rakhli mengukuhkan kedudukan Selangor pada minit ke-90 untuk kedudukan 4-2.
Pada masa kecederaan, Pahang memperoleh gol ketiga menerusi Hairuddin tetapi sudah terlambat untuk menyekat Selangor daripada mendapatkan tiga mata penuh.
Di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Kedah menundukkan UPM-MyTeam 2-0 menerusi jaringan Mohd Fadly Baharom (minit ke-40) dan penyerang import berbisanya, Marlon Alex James (ke-46).
Dengan kemenangan ke-13 malam ini, Kedah kini mengumpul 41 mata iaitu dua mata lebih daripada pencabar terdekatnya, Selangor.
Di Stadium Perak, Perak membenam cabaran Pulau Pinang 3-1 dengan penyerang import dari Chile, Carlose Caceres menjaringkan hatrik dengan jaringan pada minit keempat, 34 dan 46 manakala gol saguhati Pulau Pinang dijaringkan M. Prakash ke-77.
Perak kini menduduki tempat ketiga dengan mengumpul 37 mata.
Negeri Sembilan Naza membelasah Sarawak 4-0 di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi menerusi jaringan K. Thanraj pada minit kesembilan, Marian Juhas (minit ke-38), Mohd Zaquan Adha (minit ke-56) dan S.Kunalan (minit ke-90).
Di Stadium Sultan Ismail, Kuala Terengganu, Terengganu tidak menghadapi masalah menundukkan Polis Diraja Malaysia 2-0 menerusi Mohd Nor Farhan (minit ke-15) dan Mohd Ashaari Shamsuddin (minit ke-75).
Di Stadium Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, pasukan Brunei DPMM hanya mampu seri 0-0 dengan Perlis.
SELANGOR:
21-MOHD SUFFIAN ABDUL RAHMAN, 17-AMRI YAHYAH, 4-EVANS CHISULO, 3-RAZMAN ROSLAN, 15-P.GUNALAN, 8-ELIE AIBOY (24-AMIRUL HADI ZAINAL), 25-SHUKOR ADAN, 23-INDRA PUTRA MAHAYUDDIN, 27-ASRARUDDIN PUTRA OMAR (28-SAFIQ RAHIM), 9-FRANK SEATOR (14-AKMAL RIZAL RAKHLI), 10-SAFEE SALI