Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
15.03.08

Khalid sedia terajui FAS

Oleh: UTUSAN MALAYSIA

SHAH ALAM - Tan Sri Khalid Ibrahim menyatakan kesediaannya untuk menerajui Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sekali gus mahu melihat kemajuan sukan itu di negeri ini.

Khalid, 62, yang baru dilantik sebagai Menteri Besar Selangor berkata, sukan memang menjadi sebahagian daripada bidang yang diminatinya.

''Jika Perlembagaan FAS mengatakan saya layak, sudah tentu saya bersedia menerajuinya.

''Namun, ketika ini, keutamaan saya ialah pembentukan kerajaan negeri. Saya memang seronok melibatkan diri dalam sukan terutama sewaktu di zaman kanak-kanak," katanya selepas upacara mengangkat sumpah di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, kelmarin.

Mengikut Perlembagaan FAS, jawatan presiden persatuan itu mesti dipegang oleh Menteri Besar dan dengan berlakunya peralihan kuasa selepas berakhirnya pilihan raya bermakna Khalid secara automatik layak menerajui persatuan itu.

Jawatan Presiden FAS sebelum ini disandang oleh Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang hilang jawatan sebagai Menteri Besar berikutan kegagalan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri dalam pilihan raya 8 Mac lalu.

''Memanglah, sukan sesuatu bidang yang sihat. Saya berharap pasukan Selangor bermain dengan baik dan ia tentu menyeronokkan rakyat di negeri ini.

''Saya akan melihat terlebih dahulu dari aspek perundangan sama ada saya benar- benar layak untuk menerajui persatuan itu," kata Khalid, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memenangi kerusi DUN Ijok, pada pilihan raya baru-baru ini.

Dengan kenyataan Khalid itu bermakna, Selangor bakal mendapat Presiden FAS yang baru dalam menguatkan cabaran mereka mengharungi saingan bola sepak Liga Super yang sedang berlangsung sekarang.

Ketika ini, pasukan yang dibimbing oleh Dollah Salleh itu menduduki tangga kedua dengan dua mata di belakang juara musim lalu, Kedah yang mengumpul 38 mata, berikutan kemenangan terbaru 2-1 ke atas Polis, Selasa lalu.

Di sebalik kesediaan Khalid menerajui FAS, terdapat desas desus tentang rombakan dalam pengurusan pasukan itu yang kini dipimpin oleh dua anggota DUN di Selangor.

Mereka ialah Datuk Mohd. Satim Diman (DUN Seri Serdang) yang bertindak selaku pengurus bersama Datuk Subahan Kamal (DUN Taman Templer) yang menjadi penolong pengurus.

Kedua-duanya adalah wakil BN sedangkan Khalid bernaung di bawah parti pembangkang.

Begitu pun. Menteri Besar Selangor yang baru itu lebih suka mengambil sikap tunggu dan lihat.