13.03.08
Misteri Selangor tanpa Satim
Oleh: Abdul Hafiz Ahmad (UTUSAN MALAYSIA)
SELAYANG - Ketiadaan pengurus pasukan Selangor, Datuk Satim Diman di bangku pasukan dalam perlawanan pertama bola sepak Liga Super sejak negeri itu ditawan pembangkang pada Pilihan Raya Umum, Sabtu lalu, mencetuskan tanda tanya terbaru.
Walaupun tiupan wisel penamat berakhir semalam, kelibat Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Serdang itu tidak kelihatan namun hanya penolong pengurus, Datuk Subahan Kamal yang masih menemani jurulatih, Dollah Salleh dan barisan pemain simpanan Gergasi Merah.
Kedudukan Satim, orang kuat UMNO Selangor dalam FAS dikatakan bakal tergugat sejak dominasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pilihan raya yang sekali gus mengakhiri khidmat Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Khir Toyo yang juga Presiden FAS.
Satim mempertahankan DUN berkenaan dengan majoriti 45 undi sementara Subahan memenangi kawasan Taman Templer menerusi kelebihan 613 undi.
Namun Setiausaha Agung FAS, Hamidin Amin berkata, pihaknya masih menanti pembentukan exco baru kerajaan negeri untuk membuat sebarang ulasan mengenai kedudukan barisan pucuk pimpinan persatuan khususnya Presiden.
Sementara itu, keampuhan penyerang Selangor yang membawanya memenangi perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang kelmarin dengan mengatasi Polis 2-1 diakui oleh Dollah dan rakan sejawatannya, K. Thaiyanathan.
"Saya akui permainan Selangor tidak semantap yang dikehendaki apabila menentang Polis kali ini. Cuma kami bertuah kerana masih mampu menjaringkan gol," kata Dollah yang memuji prestasi Akmal Rizal dengan gol minit keempat dan 83 itu.
Kata Thaiyanathan yang terpaksa berpuas hati dengan gol tunggal Budi Sudarsono pada minit ke-66: "Kami cukup terasa kehilangan Hillary Echesa yang terpaksa kembali ke Kenya kerana isterinya baru melahirkan anak."