19.03.08

Pengurus Selangor letak jawatan

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

PENGURUS skuad Liga Super Selangor, Datuk Satim Diman (gambar) bersama dua penolongnya, Faizal Abdullah dan Datuk Subahan Kamal secara rasmi meletakkan jawatan mereka berkuatkuasa serta merta.

Perkara tersebut diumumkan sendiri oleh Faizal pada satu sidang media khas di Wisma Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Kelana Jaya semalam tanpa dihadiri Satim dan Subahan.

Menurut Faizal, keputusan mereka itu dibuat bagi memberi ruang kepada Presiden FAS yang baru, Tan Sri Khalid Ibrahim melantik barisan pengurusan baru skuad Selangor.

"Kami beri ruang kepada presiden untuk membuat pilihan individu yang mereka fikirkan sesuai bagi menguruskan pasukan Selangor.

"Namun, saya dan Satim akan kekal sebagai Naib Presiden FAS manakala Subahan pula kekal Ahli Majlis FAS sehingga mesyuarat pemilihan akan datang," katanya pada sidang media berkenaan.

Dengan keputusan itu, Faizal berkata, skuad Liga Super Selangor kini akan dikendalikan Setiausaha Agung FAS, Hamidin Mohd. Amin yang dilantik sebagai pengurus sementara.

"Kami doakan selamat maju jaya buat presiden baru dan juga pasukan Selangor. Kepada pemain, mereka perlu profesional dan tak perlu terlalu emosi dengan keputusan ini," ujar Faizal.

Selepas tamat sidang media itu, Faizal terus mengadakan pertemuan dengan barisan kejurulatihan dan pemain Selangor untuk memberi penjelasan serta amanat terakhirnya selaku penolong pengurus pasukan.

Sementara itu, Hamidin berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Khalid yang juga Menteri Besar Selangor minggu depan bagi memutuskan siapa yang akan menjadi pengurus pasukan yang baru.

Satim mula menjadi pengurus pasukan Selangor bermula musim 2004 menggantikan Datuk Mokhtar Ahmad sebelum Faizal menyertai barisan pengurusan pada musim 2005 dan Subahan pula menyusul pada musim 2006/07.

Perbezaan parti politik menjadi titik tolak keputusan perletakkan jawatan itu memandangkan Satim dan Subahan merupakan ADUN Seri Serdang dan ADUN Taman Templer di bawah tiket BN manakala Faizal sendiri merupakan Naib Ketua Pemuda UMNO Selangor.