Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
17.03.08

Percaturan Dollah menjadi

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

TIGA pertukaran pemain yang dilakukan ketua jurulatih Selangor, Dollah Salleh ternyata menjadi.

Kemasukan mereka dilihat membuahkan hasil apabila Selangor mencipta kemenangan 4-3 ke atas Pahang pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam kelmarin.

Ketinggalan dua gol pada babak pertama setelah pelawat menjaringkan gol menerusi jaringan Hairuddin Omar pada minit ke-43 dan Rosdi Talib (45), Dollah bingkas memasukkan pemain tengah, Safiq Rahim menggantikan sayap kiri, Asraruddin Putra Omar.

"Memang pada separuh masa pertama persembahan kita teruk di mana semua pemain tak tunjukkan semangat juang yang tinggi.

"Alhamdulillah, kemasukan Safiq memainkan peranan besar dalam mengubah corak permainan kita pada babak kedua," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan malam kelmarin.

Selepas kemasukan Safiq, Indra kembali ke posisi sayap kiri setelah beraksi di bahagian tengah pada babak pertama dan Safiq bergandingan pula dengan Shukor Adan di bahagian tengah.

Hasilnya, Selangor berjaya menjaringkan tiga gol berturut-turut menerusi Safee Sali pada minit ke-52 dan Frank Seator (69 dan 78).

Dollah melengkapkan pertukaran pemain dengan memasukkan Akmal Rizal Rakhli dan Amirul Hadi Zainal bagi menggantikan Seator dan Elie Aiboy.

Percaturan itu berhasil apabila hantaran lintang Amirul Hadi ditolak masuk Akmal Rizal untuk gol keempat Selangor sebelum tandukan Hairuddin pada masa kecederaan menjadikan kedudukan berakhir dengan keputusan 4-3.

Jelas Dollah, gol pertama jaringan Safee menjadi titik tolak kebangkitan Gergasi Merah.

"Saya bangga dengan semua pemain kerana mereka telah tunjukkan permainan sebenar seperti yang diharapkan pada babak kedua.

"Tapi sebenarnya saya percaya, sesiapa saja pemain yang diberi peluang beraksi, saya yakin pada kebolehan yang mereka ada," ujar Dollah.

Selangor yang kekal berada di tangga kedua Liga Super kini akan mengalihkan tumpuan pada saingan Piala FA untuk bertemu Perak di Ipoh, Jumaat ini bagi perlawanan pertama pusingan kedua.