04.03.08
Piala FA: Brunei DPMM 2-2 Selangor
Oleh: misai11 (selangorfc.com)
SELANGOR berjaya melangkah ke pusingan kedua Piala FA 2007/08 selepas berjaya menyingkirkan Brunei DPMM pada pusingan pertama dengan agreget 7-3.
Selepas menang 5-1 pada perlawanan pertama di Shah Alam pada 19 Februari lalu, perlawanan kedua malam tadi menyaksikan Selangor berjaya mengikat Brunei DPMM 2-2 di Stadium Hasanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.
Tanpa penyerang kebangsaan, Mohd. Safee Sali yang digantung dua perlawanan akibat kad merah ketika bertemu Terengganu Sabtu lalu, Dollah Salleh menggandingkan Frank Seator dan Akmal Rizal Rakhli di bahagian serangan.
Dua lagi pemain import Selangor iaitu Evans Chisulo dan Elie Aiboy turut direhatkan dalam perlawanan ini.
Babak pertama menyaksikan Selangor berjaya mengikat Brunei DPMM tanpa sebarang jaringan yang berjaya dihasilkan meskipun pasukan tuan rumah itu dilihat lebih banyak mengasak ke kubu Selangor.
Namun, usaha berterusan Brunei DPMM akhirnya berhasil pada minit ke-48 apabila penyerang mereka, Sharazin Said menjaringkan gol pertama tuan rumah.
Namun, hanya dua minit kemudian, Akmal Rizal berjaya menewaskan penjaga gol Brunei DPMM, Wardun Yusof untuk mengikat kedudukan 1-1.
Brunei DPPM bagaimanapun kembali mendahului pada minit ke-56 selepas tandukan Francois Mpessa gagal diselamatkan penjaga gol Selangor, Mohd. Suffian Abdul Rahman.
Selangor sekali lagi menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-64 menerusi jaringan kedua Akmal Rizal untuk memastikan Selangor mara ke pusingan kedua dengan kelebihan agreget 7-3.
Perlawanan pusingan kedua bakal berlangsung pada 21 Mac (Jumaat) dan 27 Mac (Khamis) dengan undian perlawanan akan diadakan pada Isnin ini.
SELANGOR:
21-MOHD. SUFFIAN ABDUL RAHMAN, 17-AMRI YAHYAH, 3-RAZMAN ROSLAN, 26-NASRIQ BAHAROM, 15-P.GUNALAN, 24-AMIRUL HADI ZAINAL (28-SAFIQ RAHIM), 25-SHUKOR ADAN, 23-INDRA PUTRA MAHAYUDDIN, 11-R.SURENDRAN (19-D.SURENDRAN) , 9-FRANK SEATOR, 14-AKMAL RIZAL RAKHLI