21.03.08
Piala FA: Perak 4-4 Selangor
Oleh: misai11 (selangorfc.com)
SELANGOR mendapat bekalan secukupnya untuk perlawanan kedua setelah berjaya mengikat Perak 4-4 dalam perlawanan pertama, pusingan kedua Piala FA 2007/08 di Stadium Perak, Ipoh malam tadi.
Empat gol dijaringkan di gelanggang lawan itu merupakan bekalan berguna andai aksi kedua di Shah Alam, Khamis depan menyaksikan kedua-dua pasukan turut mencatat keputusan seri.
Ini kerana, saingan Piala FA menggunakan peraturan kelebihan gol di tempat lawan jika kedua-dua pasukan masih terikat agregat selepas perlawanan kedua nanti.
Namun, Selangor sepatutnya mampu membawa bekalan lebih selesa dari Ipoh setelah mereka mendahului 4-1 sehingga minit ke-58 tetapi kelekaan benteng pertahanan membenarkan Perak menjaringkan tiga gol berturut-turut selepas itu.
Bermula perlawanan, pemain kedua-dua pasukan mempamerkan aksi berhati-hati berikutan keadaan padang yang licin akibat hujan sejak petang.
Selangor berjaya membuka tirai jaringan seawal minit ke-14 menerusi sepakan leret Mohd. Safee Sali yang gagal diselamatkan penjaga gol Perak, Hamsani Ahmad.
Pada minit ke-25, Perak nyaris menyamakan kedudukan menerusi Hardi Jaafar tetapi rembatannya sekadar singgah ke palang gol tatkala penjaga gol Selangor, Mohd. Suffian Abdul Rahman sudah tertewas.
Selangor bagaimanapun memperolehi gol kedua selepas sepakan jarak jauh Elie Aiboy terus menerjah jaring pada minit ke-32 untuk kedudukan 2-0.
Ia adalah jaringan sulung Elie musim ini selepas pemain kebangsaan Indonesia itu membuat penampilan pertama ketika Selangor tewas 2-4 kepada Perak di Stadium Shah Alam dalam aksi Liga Super pada 2 Februari lalu.
Separuh masa kedua bermula, Perak tidak menunggu lama apabila berjaya merapatkan jurang gol menerusi jaringan ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar pada minit ke-51.
Namun, kegembiraan pasukan tuan rumah hanya seketika selepas Frank Seator berjaya meledak gol ketiga Selangor untuk kedudukan 3-1 pada minit ke-56.
Red Giants terus mengganas dua minit selepas itu apabila Safee berjaya memperdayakan Hamsani untuk gol keempat Selangor.
Benteng pertahanan Selangor mula leka selepas mereka mendahului 4-1 dan kesempatan itu digunakan penyerang Perak, Razali Umar Kandasamy untuk menjaringkan gol kedua pasukan tuan rumah pada minit ke-60.
Pada minit ke-64, Razali terus cemerlang apabila berjaya menjaringkan gol ketiga Perak dan dua minit selepas itu dia melengkapkan hatrik buat dirinya selepas menyumbat gol keempat pasukan tuan rumah untuk menyamakan kedudukan 4-4.
Nasib malang Selangor berterusan apabila pemain pertahanan, Nasriq Baharom dilayangkan kad merah pada minit ke-75 selepas dia mengasari Khalid Jamlus sekali gus memaksa Selangor beraksi dengan 10 pemain.
Mujur pemain-pemain Selangor masih berjaya mempertahankan kubu mereka daripada terus dibolosi pada baki 15 minit permainan untuk kedudukan 4-4 itu kekal sehingga tamat perlawanan.
SELANGOR:
21-MOHD. SUFFIAN ABDUL RAHMAN, 3-RAZMAN ROSLAN, 4-EVANS CHISULO, 26-NASRIQ BAHAROM, 15-P.GUNALAN, 8-ELIE AIBOY, 23-INDRA PUTRA MAHAYUDDIN, 25-SHUKOR ADAN, 11-R.SURENDRAN, 9-FRANK SEATOR, 10-SAFEE SALI
PEMAIN GANTIAN: 19-D.SURENDRAN, 24-AMIRUL HADI ZAINAL