28.03.08
Piala FA: Selangor 2-1 Perak (Agg 6-5)
Oleh: BERNAMA
JARINGAN Safee Sali pada minit ke-86 membolehkan Selangor melangkah ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan Perak 2-1 dalam perlawanan kedua, pusingan kedua di Stadium Shah Alam malam tadi.
Perak membuka jaringan pada minit ke-45 menerusi sepakan percuma Mario Estaban tetapi Frank Seator menyamakan kedudukan pada minit ke-65.
Sebelum ini, kedua-dua pasukan terikat 4-4 pada perlawanan di Stadium Ipoh.
SELANGOR:
21-MOHD. SUFFIAN ABDUL RAHMAN, 17-AMRI YAHYAH, 3-RAZMAN ROSLAN, 4-EVANS CHISULO, 15-P.GUNALAN, 8-ELIE AIBOY, 25-SHUKOR ADAN, 28-SAFIQ RAHIM, 23-INDRA PUTRA MAHAYUDDIN (24-AMIRUL HADI ZAINAL), 9-FRANK SEATOR (14-AKMAL RIZAL RAKHLI), 10-SAFEE SALI
Sementara itu, mengiringi Selangor ke saingan suku akhir ialah juara bertahan, Kedah, Sabah, Pahang, Melaka, Felda United, Terengganu dan Kuala Muda.
Di KUCHING, Kedah menewaskan Sarawak 2-0 pada perlawanan di Stadium Sarawak untuk selesa ke suku akhir dengan kelebihan agregat 5-0.
Dua gol Kedah dijaringkan oleh Mohd Fadly Baharom pada minit ke-28 dan minit ke-37 separuh masa pertama.
Pada perlawanan pertama di Alor Star pada 21 Mac lalu Kedah menewaskan Sarawak 3-0 di Stadium Darul Aman.
Di SEREMBAN, Terengganu layak ke suku akhir selepas membenam Negeri Sembilan 4-1, menjadikan agregat 5-1.
Gol-gol pasukan pelawat dijaringkan oleh Zairol Anuar Zalani (min ke-5 dan 90, Gleisson Jorge (min ke-28) dan Ismail Faruqi (min ke-90) sementara gol tunggal pelawat dijaringkan oleh Udo Fortune pada minit ke-39.
Pada perlawanan pertama, Terengganu menewaskan Negeri Sembilan 1-0.
Di KOTA KINABALU, Sabah menewaskan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) 3-1 pada perlawanan di Stadium Likas.
Kokhrei Dze Irakli menjaringkan dua gol PDRM pada minit ke-2 dan 68 sementara gol ketiga dijaringkan Salvester Sindih pada minit ke-13.
Gol tunggal lawan dijaringkan oleh Sanjos Sundawat pada minit ke-47.
Di SELAYANG, hasrat pendahulu Liga Perdana KL Plus untuk ke suku akhir tidak kesampaian apabila tewas 0-2 kepada Pahang pada perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Gol Pahang dijaringkan oleh Redouane Barkaoui pada minit ke-36 dan Norfazly Alias pada minit ke-56.
Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada perlawanan di Stadium Darul Makmur, sebelum ini.
Di CHERAS, Felda United mara ke suku akhir dengan kelebihan agregat 5-3 ke atas Kuala Lumpur walaupun tewas 0-1 kepada lawan pada perlawanan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.
Gol saguhati perlawanan dihasilkan melalui jaringan sendiri oleh Azwadi Embong pada minit ke-61. Felda United sebelum ini membelasah Kuala Lumpur 5-2.
Di MELAKA, tuanrumah ke suku akhir selepas menumpaskan Proton FC 4-1, bagi menjadikan agregat 6-4.
Pada perlawanan di Stadium Hang Tuah, Melaka memperoleh jaringan menerusi George Opoku Wah pada minit ke-2, Kofi Estiba (min ke-40, 60) dan Mohd Saiful Mustaffa (min ke-71) sementara gol tunggal Proton FC dijaringkan oleh Aswad Md Yusoff pada minit ke-89.
Pada perlawanan sebelum ini, Proton FC menumpaskan Melaka 3-2.
DI ALOR STAR, jaringan Liew Kit Kong pada masa tambahan, minit ke-112 membolehkan pasukan Kuala Muda melangkah ke suku akhir selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas tamat masa 90 minit, pada perlawanan di Stadium Darul Aman.
Pulau Pinang yang membawa bekal 1-0 pada perlawanan terdahulu dikecewakan dengan gol Jose Antonio Vega pada minit ke-67 dan kedudukan tersebut kekal hingga tamat masa 90 minit untuk perlawanan masa tambahan.
Jaringan Kit Kong akhirnya membolehkan Kuala Muda ke suku akhir dengan agregat 2-1.