06.03.08
Red Giants tidak gentar
Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)
PERSEMBAHAN konsisten skuad Selangor sejak kebelakangan ini memberi keyakinan kepada jurulatihnya, Dollah Salleh.
Dollah menjelaskan bahawa mereka tidak risau tentang siapa lawan yang bakal dihadapi pada perlawanan pusingan kedua Piala FA selepas ini.
Selangor berjaya menyingkirkan Brunei DPMM dengan agregat 7-3 selepas menang besar 5-1 di tempat sendiri pada 19 Februari lalu dan seri 2-2 di tempat lawan, malam kelmarin.
"Saya tak kisah siapa yang akan jadi lawan Selangor nanti. Kita terima saja dan bersedia memberi tentangan," katanya semalam.
Perlawanan timbal balik pusingan kedua Piala FA akan berlangsung pada 21 Mac (Jumaat) dan 27 Mac (Khamis) dengan undian perlawanan akan diadakan pada Isnin ini.
Ditanya tentang prestasi pasukannya ketika mencatat keputusan seri di Bandar Seri Begawan kelmarin, Dollah berkata pemainnya telah mempamerkan persembahan membanggakan biarpun dia tidak menurunkan kesebelasan utama terbaiknya.
"Saya tidak turunkan Evans Chisulo dan Elie Aiboy kerana tak mahu mereka tercedera. Kita main tanpa tekanan tetapi bila Brunei main bersungguh-sungguh, kita tetap memberikan saingan kepada mereka.
"Saya puas hati dengan prestasi pemain yang diturunkan pada perlawanan itu kerana mereka beraksi dengan baik. Cuma sedikit kelalaian menyebabkan pintu gol kita bolos dua kali," jelas Dollah.
Jurulatih berusia 45 tahun itu turut memuji prestasi Akmal Rizal Rakhli yang menjaringkan dua gol serta penjaga gol, Mohd. Suffian Abdul Rahman yang banyak menyelamatkan percubaan berbahaya pasukan lawan.
"Itulah kelebihan Akmal. Walaupun lama tak diturunkan dalam kesebelasan utama, dia masih ada sentuhan penyudah. Sebab itu saya sentiasa percaya dengan kemampuannya.
"Suffian pula, memang saya akui sekarang ini dia berada pada prestasi terbaik selepas diturunkan dalam enam perlawanan terakhir Selangor," katanya.